Skip to main content

Kewangan

MAS kekalkan dasar kewangan buat kali kelima berturut-turut; inflasi dijangka sederhana

Kali terakhir MAS mengetatkan dasar kewangannya ialah pada Oktober 2022.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Jul 2024 09:28AM Dikemas Kini : 26 Jul 2024 09:00PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengekalkan dasar kewangannya pada Jumaat (26 Jul), selaras dengan jangkaan.

Ini adalah kali kelima berturut-turut bank pusat itu mengekalkan dasarnya.

MAS mula mengeluarkan penyata dasar kewangan (MPS) suku tahunan tahun ini. Sebelum perubahan itu, ia biasanya mengeluarkan MPS sebanyak dua kali setahun, pada bulan April dan Oktober.

Dalam MPS pada  Jumaat, MAS berkata ia akan mengekalkan kadar kenaikan ketika ini bagi jalur dasar Kadar Tukaran Efektif Nominal  Dolar Singapura (S$NEER). Juga tidak akan ada perubahan pada kelebaran, atau titik tengah jalur dasar tersebut iaitu parameter yang menunjukkan setinggi mana dan sepantas mana kenaikan nilai mata wang Singapura yang diinginkan MAS.

Reuters telah meninjau 10 penganalisis, dan sembilan menjangkakan MAS akan membiarkan tetapan dasarnya tidak berubah.

Dasar kewangan Singapura adalah berdasarkan kadar pertukaran, bukannya kadar faedah seperti di negara lain. 

MAS membenarkan dolar Singapura naik atau turun berbanding mata wang rakan dagangan utama negara dalam kumpulan S$NEER, yang tidak didedahkan secara terbuka.

Ia boleh menukar cerun, titik tengah dan lebar jalur apabila menyesuaikan dasar kewangannya.

Kali terakhir MAS mengetatkan dasar kewangannya ialah pada Oktober 2022.

RAMALAN INFLASI 

Bank pusat itu berkata ia menjangkakan inflasi keseluruhan pada purata 2 peratus hingga 3 peratus tahun ini, turun daripada unjuran sebelumnya sebanyak 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.

Ia disebabkan terutamanya inflasi pengangkutan swasta yang lebih rendah daripada jangkaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata MAS.

Bank pusat itu juga merujk kepada harga Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) yang lebih rendah berbanding setahun lalu, serta penurunan dalam inflasi teras.

"Kebanyakan barangan dan perkhidmatan mencatatkan inflasi yang lebih rendah yang lebih sekali gus mengimbangi kenaikan harga air," kata MAS.

Kos makanan yang diimport terus merosot, manakala inflasi perkhidmatan menjadi sederhana sejajr dengan pertumbuhan dalam kos buruh seunit yang semakin perlahan.

Inflasi teras dijangka terus merosot dengan lebih ketara pada suku keempat dan pada 2025.

Walaupun kadar penghantaran meningkat, harga pengeluar global hanya meningkat sederhana.

Harga minyak mentah global juga telah jatuh dari kemuncaknya pada April.

Pasaran buruh juga tidak ketat seperti dahulu, dan daya penghasilan dijangka meningkat.

"Jika tiada kejutan baharu kepada kos, inflasi teras akan turun dengan lebih ketara pada Q4, dan jatuh lagi kepada sekitar 2 peratus pada 2025," kata kenyataan itu.

MAS menyatakan bahawa kadar inflasi teras suku musim yang disesuaikan mencecah 2.1 peratus pada kadar tahunan pada suku kedua.

“Tahap perubahan harga berurutan, yang lebih baik mencerminkan inflasi terkini dalam ekonomi, dijangka lebih rendah pada separuh kedua 2024 berbanding enam bulan pertama tahun ini,” kata bank pusat itu.

Walau bagaimanapun, terdapat risiko pada ramalan itu. Inflasi boleh bertambah buruk jika kos buruh meningkat disebabkan permintaan yang lebih kukuh daripada jangkaan, atau jika ketegangan geopolitik bertambah buruk. Tetapi harga boleh jatuh lebih cepat daripada yang dijangkakan jika kadar faedah global kekal lebih tinggi untuk lebih lama, menyebabkan permintaan luar menjadi lemah.

Aktiviti ekonomi rakan dagangan utama Singapura secara amnya stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kata MAS, merujuk kepada ekonomi serantau yang mendapat manfaat daripada pelaburan perniagaan yang berdaya tahan di Amerika Syarikat.

Pertumbuhan China pula didorong oleh eksport yang kukuh.

Di peringkat tempatan, pertumbuhan pada suku kedua disokong oleh perkhidmatan moden dan pengilangan elektronik. Pengembangan dalam sektor pengguna menjadi sederhana selepas menerima rangsangan pada awal tahun ini.

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita