MAS arah Binance henti tawar khidmat pembayaran kepada penduduk Singapura
Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Khamis (2 Sep) mengumumkan bahawa ia telah mengarahkan pengendali wadah pertukaran mata wang kripto, Binance.com supaya berhenti menawarkan khidmat bayaran kepada penduduk di Singapura.
Gambar fail aplikasi Binance di paparan telefon bijak (Gambar: REUTERS/Dado Ruvic)
SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Khamis (2 Sep) mengumumkan bahawa ia telah mengarahkan pengendali wadah pertukaran mata wang kripto, Binance.com supaya berhenti menawarkan khidmat bayaran kepada penduduk di Singapura.
Menjawab pertanyaan media, seorang jurucakap MAS berkata Binance, yakni pengendali Binance.com, mungkin melanggar Akta Khidmat Pembayaran kerana menawarkan khidmat pembayaran tanpa lesen sewajarnya.
Binance tidak memohon lesen di bawah akta tersebut, kata jurucakap itu.
MAS telah meletakkan Binance.com dalam senarai amaran pelaburnya, memberi amaran kepada pengguna bahawa Binance tidak dikawal selia atau diberi lesen untuk menyediakan sebarang khidmat pembayaran di Singapura.
MAS menambah bahawa Binance Asia Services – sebuah entiti berasingan yang mengendalikan sebuah lagi platform pertukaran mata wang kripto, Binance.sg - sudahpun menyerahkan permohonan lesen di bawah Akta Khidmat Pembayaran.
Binance Asia Services kini dikecualikan daripada memegang lesen untuk menyediakan khidmat token pembayaran digital di bawah aturan peralihan dalam Akta itu, kata jurucakap tersebut.
MAS sebelum ini menyatakan pengecualian tersebut diguna pakai ke atas entiti yang menjalankan perniagaan dikawal selia sebelum Akta Khidmat Pembayaran bermula pada 28 Jan 2020.
Pengecualian itu membolehkan sesebuah entiti terus menawarkan khidmatnya sementara permohonan lesen diproses. Ia kekal boleh digunakan sehingga permohonan lesen diluluskan, ditolak atau ditarik balik.
MAS menyatakan ia telah menghubungi Binance Asia Services dan akan "segera memulakan penggantungan secara teratur kemudahan pemindahan aset token pembayaran digital" dengan Binance.
Tambahnya, Binance Asia Services akan memaklumkan pelanggannya mengenai aturan yang sesuai secepat mungkin.
Permohonan lesen Binance Asia Services masih sedang disemak, bergantung sama ada ia dapat memenuhi syarat di bawah Akta Khidmat Pembayaran, kata jurucakap MAS.
Binance, diasaskan oleh usahawan warga China-Kanada Changpeng Zhao. Ia merupakan wadah pertukaran kripto terbesar di dunia dari segi jumlah.
Syarikat itu menghadapi tekanan dari pengawal selia merata dunia ekoran kebimbangan tentang penggunaan mata wang kripto dalam pengubahan wang haram dan risiko kepada pengguna.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.