Skip to main content

Kewangan

Mantan Duta AS undur diri dari pembida Newcastle United

Mantan duta besar AS ke Singapura berkata beliau sudah meletak jawatan daripada lembaga pengarah sebuah firma yang dikaitkan dengan kumpulan syarikat yang membuat bidaan untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United.

Anggaran Waktu Membaca:
Mantan Duta AS undur diri dari pembida Newcastle United

(Gambar: Bellagraph Nova Group)

Diterbitkan : 27 Aug 2020 03:37PM Dikemas Kini : 27 Aug 2020 03:45PM

SINGAPURA: Mantan duta besar Amerika Syarikat ke Singapura berkata beliau sudah meletak jawatan daripada lembaga pengarah sebuah firma yang dikaitkan dengan kumpulan syarikat yang membuat bidaan untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, sambil mendakwa bahawa "perkembangan baru-baru ini" mendorongnya untuk berbuat demikian.

Encik Kirk Wagar mendedahkan bahawa beliau sudah mengundurkan diri daripada lembaga pengarah Axington, sebuah firma yang tersenarai dalam bursa saham kedua Singapura. Ahli perniagaan dan pasangan sepupu warga Singapura, Terence Loh dan Nelson Loh, adalah pemegang saham utama firma itu dan pengerusinya adalah peniaga barang kemas China, Evangeline Shen.

Encik Terence Loh dan Encik Nelson Loh serta Cik Shen adalah pemegang saham tunggal dan pengarah Bellagraph Nova Group (BN Group) yang baru ditubuhkan, yang menggambarkan kumpulan tersebut sebagai sebuah "konglomerat" dengan pendapatan bernilai AS$12 bilion (S$16.41 bilion) pada tahun lalu yang kini sedang dalam perbincangan untuk membeli Newcastle United.

Reuters melaporkan pada Sabtu bahawa BN Group yang didaftarkan di Singapura mengaku mengubah gambar mantan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dalam bahan pemasarannya.

BN Group turut mendedahkan bahawa sesetengah maklumat dalam bahan pemasaran tersebut dikeluarkan sebelum waktunya atau mengandungi kesilapan setelah Reuters mengesan beberapa keganjilan semasa menghubungi firma-firma dan individu-individu yang didakwa terlibat dengan BN Group.

Pengumuman mengejutkan syarikat itu berhubung bidaan untuk membeli Newcastle United meningkatkan lagi spekulasi selama bertahun-tahun mengenai masa depan kelab itu, yang menjadi bahan bidaan yang berkali-kali gagal membuahkan hasil termasuk bidaan bernilai AS$390 juta (S$532.6 juta) dari Arab Saudi yang juga menemui jalan buntu pada awal bulan ini.

Akhbar The Straits Times pada Rabu (26 Ogos) memetik BN Group sebagai menyatakan bahawa sebilangan bahan pemasarannya "kelihatan adalah tindakan sebilangan individu yang tidak bertanggungjawab dan mungkin berniat jahat".

BN Group bagaimanapun belum lagi memberikan respons terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan ulasan.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita