Skip to main content

Kewangan

Malaysia capai angka pelaburan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025

Malaysia mencatatkan sejumlah RM426.7 bilion (S$137.7 bilion) bagi pelaburan yang diluluskan dalam 2025, yang juga pencapaian tertinggi pernah diraih.
Anggaran Waktu Membaca:
Malaysia capai angka pelaburan tertinggi RM426.7 bilion pada 2025
Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim. (Gambar fail: REUTERS/Liesa Johannssen)
KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan sejumlah RM426.7 bilion (S$137.7 bilion) bagi pelaburan yang diluluskan dalam 2025, yang juga pencapaian tertinggi pernah diraih.

Jumlah itu melonjak sebanyak 11 peratus berbanding RM384.4 bilion (S$124.1 bilion) pada 2024.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pencapaian itu juga sekali gus memaparkan pertumbuhan prestasi pelaburan negara yang berterusan walaupun dalam realiti persekitaran global yang berhati-hati.

Dalam kenyataan pada Jumaat (6 Mac), agensi itu menyatakan prestasi Malaysia bersandarkan komitmen projek nyata merangkumi 8,390 projek yang diluluskan bagi sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang dijangka menjana sebanyak 244,902 pekerjaan baharu.

Selain angka rekod berkenaan, penunjuk utama lain turut menunjukkan peningkatan, termasuk jumlah projek diluluskan yang meningkat sebanyak 9.2 peratus.

Jangkaan pewujudan kerja turut naik 17.9 peratus.

MIDA menyatakan pelaburan domestik mencecah RM219.6 bilion (S$70.9 bilion), membentuk 51.5 peratus, manakala pelaburan asing menokok 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion (S$66.88 bilion), membentuk 48.5 peratus.

Jumlah pelaburan asing meningkat dan merentasi kesemua tiga sektor ekonomi iaitu 63.4 peratus dalam sektor utama, 28.7 peratus bagi sektor perkhidmatan dan 13.1 peratus dalam sektor pengilangan yang mencerminkan keyakinan berterusan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Agensi itu juga menyifatkan komposisi seimbang itu sebagai memaparkan penyertaan domestik yang kukuh selain minat berterusan daripada kalangan pelabur asing, malah komposisi pelaburan asing itu turut menggambarkan trend atau aliran yang kian berkembang.

“Singapura yang mencatat RM58.3 bilion (S$18.8 bilion) dan China (RM58.0 bilion/S$18.73 bilion) adalah dua sumber terbesar dan seterusnya Amerika Syarikat (RM15.1 bilion/S$4.8 bilion), Jepun (RM7.6 bilion/S$2.4 bilion) dan Hong Kong (RM7.1 bilion/S$2.29 bilion) yang mewakili kelompok lima penyumbang teratas.

“Bagi saya, apa yang turut memberi keyakinan setimpal adalah keseimbangan pencapaian ini. Lebih separuh pelaburan diluluskan itu daripada sumber domestik, satu petanda jelas perniagaan Malaysia percayakan hala tuju dan masa depan negara,” kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin dalam kenyataan sama.

Beliau menyifatkan lonjakan pelaburan asing sebanyak 20.9 peratus menjadi bukti keyakinan berterusan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi modal bagi jangka panjang dan berkualiti tinggi.

Dalam pada itu Pengerusi MIDA merangkap Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata: “Kejayaan pelaburan Malaysia bukannya satu kebetulan - ini hasil daripada dasar jelas, institusi yang konsisten selain pembaharuan yang kita telah laksanakan sejak awal 2023.”

Pada masa sama, beliau berkata Kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan rangka dasar MITI turut menyuntik kepastian bagi pelabur dengan 84.9 peratus projek pembuatan diluluskan sudah direalisasikan atau sedang dilaksanakan.

“Kita telah menunjukkan bagaimana (keupayaan) Malaysia untuk mampu kekal berdaya tahan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan,” kata beliau.

Tengku Zafrul berkata kewujudan kemudahan baharu, teknologi maju serta pekerjaan berkualiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini, turut mencerminkan keupayaan negara untuk merealisasikan keyakinan pelabur kepada pertumbuhan perindustrian.

Ini selain mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan berdaya tahan.

Ini termasuk sektor perkhidmatan yang meraih pelaburan diluluskan sebanyak RM281.3 bilion (S$90.8 bilion) atau 65.9 peratus daripada jumlah keseluruhan yang merangkumi 7,004 projek dan dijangka menjana sebanyak 134,926 peluang pekerjaan baharu - bahagian terbesar daripada keseluruhan penciptaan pekerjaan.

Sumber domestik menyumbang menyumbang sebanyak 63.0 peratus (RM177.2 bilion/S$57.22 bilion) manakala pelaburan asing 37.0 peratus (RM104.1 bilion/S$33.62 bilion) atau peningkatan 28.7 peratus bagi tahun ke tahun.

Subsektor maklumat dan komunikasi mendahului lonjakan ini dengan nilai mencecah RM152.9 bilion (S$49.3 bilion) manakala sebahagian besar kelulusan dipacu oleh pelaburan digital dalam kecerdasan buatan (AI), data raya, pusat data dan pengkomputeran cloud.

“Di MIDA misalnya, tumpuan kita melangkaui daripada menarik pelaburan; ini juga memastikan projek diluluskan dapat dilaksanakan secara cekap dan berjaya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

Beliau berkata sejak beberapa tahun ini, MIDA bertindak memperkukuh mekanisme bagi tujuan memudah cara, meningkatkan penyelarasan antara agensi kerajaan serta memperdalam pelibatan dengan pelabur dalam usaha menyokong pelaksanaan projek yang tepat pada masanya.

“Kesemua usaha ini memaparkan evolusi berterusan MIDA untuk menjadi agensi penggalakan pelaburan yang tangkas serta responsif selain komited bekerjasama dengan pelabur dalam perjalanan pelaburan mereka selain memberi nilai berterusan untuk ekonomi Malaysia,” kata beliau.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita