Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Malaysia Airlines lancarkan penerbangan mesra alam pertama ke S'pura pada 5 Jun

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Malaysia Airlines (MAS) akan mengendalikan penerbangannya yang pertama untuk penumpang antara Kuala Lumpur dengan Singapura pada Ahad (5 Jun), dengan menggunakan bahan api penerbangan yang mampan.

Dalam kenyataan media pada Isnin (30), MAS mengumumkan penerbangan itu akan dikendalikan melalui pesawat Boeing 737-800, dengan menggunakan kira-kira 38 peratus bahan api mampan yang diperbuat daripada sisa boleh diperbaharui semula dan sisa bahan mentah seperti minyak masak.

Penerbangan MH603 ke Singapura dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada jam 12.25 tengah hari. 

Sementara itu, penerbangan MH606 pula akan berlepas pulang dari Singapura ke Kuala Lumpur pada pukul 3.40 petang.

"Penerbangan-penerbangan ini mengesahkan lagi komitmen syarikat penerbangan negara untuk masa depan yang mampan dan menandakan kemajuan penting ke arah mencapai sumber bahan api yang lebih bersih serta berdaya maju untuk penerbangan biasa menjelang 2025," menurut MAS.

Ia menambah penumpang boleh mendapat diskaun sehingga 15 peratus apabila menempah penerbangan yang berkuasakan bahan api mampan itu.

Pemeriksaan Mediacorp di laman web MAS mendapati tiket-tiket penerbangan kelas ekonomi sudahpun habis dijual.

Penerbangan kelas perniagaan ke Singapura dari Malaysia berharga RM1,922 (S$600), dengan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur bermula dari RM2,005 (S$628.40).

LESTARI MINYAK MAMPAN 

Bahan api penerbangan mampan adalah sejenis bahan api yang diperbuat daripada pelbagai stok suapan atau bahan-bahan, termasuk sisa minyak dan lemak, sisa mesra alam dan perbandaran serta tanaman bukan makanan. 

Ia juga boleh dihasilkan secara sintetik melalui proses yang meresap karbon secara langsung dari udara, terang Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bahan api sedemikian boleh mengurangkan pelepasan kitar hayat sehingga 80 peratus berbanding dengan minyak konvensional.

Pakar industri yang ditemu bual Mediacorp berkata bahan api mampan kini merupakan "satu-satunya sumber tersedia" dari segi menjana kuasa penerbangan dengan cara mesra alam. Teknologi-teknologi lain seperti hidrogen dan kuasa bateri memerlukan masa yang lebih lama sebelum ia boleh digunakan.

Bagaimanapun, bekalan yang terhad dan harga tinggi minyak mampan menghambat penggunaannya yang lebih meluas.

Laporan Bloomberg pada November tahun lalu menganggarkan pengeluaran bahan api mampan itu kurang daripada 0.1 peratus daripada penggunaan bahan api pesawat sejagat. 

Pada Februari tahun ini, IATA menyatakan pengeluarannya dijangka mencecah 7.9 bilion liter, atau 2 peratus daripada keperluan bahan api secara keseluruhan, menjelang 2025 dengan "sokongan dasar pemerintah yang sesuai", lapor media CNBC.

Dari segi harga, penasihat penerbangan bebas, Priveen Raj Naidu, menganggarkan bahawa bahan api mampan adalah dua hingga lima kali lebih mahal daripada minyak pesawat tradisional.

Syarikat penapisan minyak, Neste, menyatakan faktor-faktor yang mendorong kenaikan kos pengeluaran bahan api mesra alam itu termasuk kekurangan subsidi daripada pemerintah dan ketersediaan stok suapan.

Harga purata bahan api untuk pesawat di seluruh dunia adalah sekitar AS$4.15 (S$5.71) segelen, menurut perangkaan IATA.

Sebaliknya, segelen bahan api bagi penerbangan mampan berharga kira-kira S$8.67, menurut GlobalAir.

Pada April, Singapura melancarkan perjanjian dengan New Zealand untuk bekerjasama dalam usaha memajukan kemampanan dalam industri penerbangan. 

Ia termasuk mengkaji daya maju komersil untuk menyediakan "laluan mesra alam" antara kedua-dua negara itu bagi menggalakkan para pengguna supaya menaiki penerbangan yang menggunakan bahan api mampan.

Semua penerbangan Singapore Airlines dan Scoot akan menggunakan bahan api mampan campuran mulai suku ketiga tahun ini, sebagai sebahagian daripada program yang dirintiskan selama setahun.

Langkah itu dijangka mengurangkan sekitar 2,500 tan pelepasan karbon dioksida, umum kumpulan syarikat penerbangan itu pada Februari.
 

Sumber : Today/KF/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan