Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

'Mak Besar' berjaya pikat puluhan ribu pengunjung bagi setiap acara

Jika anda gemar ke bazar dan tertarik dengan jenama-jenama yang menjual pelbagai barangan dari makanan hingga ke fesyen, anda pasti pernah menghadiri acara 'Mak Besar'.

Anggaran Waktu Membaca:
'Mak Besar' berjaya pikat puluhan ribu pengunjung bagi setiap acara

Haryani Othman merupakan pengasas Mak Besar, sebuah syarikat acara dan pemasaran yang menganjurkan pelbagai acara pengguna setiap tahun. (Gambar: CNA/Izza Haziqah)

SINGAPURA: Jika anda gemar ke bazar dan tertarik dengan jenama-jenama yang menjual pelbagai barangan dari makanan hingga ke fesyen, anda pasti pernah menghadiri acara 'Mak Besar'.

Sejak pertama kali diadakan pada 2019, syarikat acara dan pemasaran itu telah menganjurkan lebih 15 acara pengguna berskala besar, dengan setiap satu menampilkan 100 hingga lebih 200 penjual runcit, makanan dan hiburan.

Ia juga berjaya menarik sekitar 65,000 pengunjung bagi setiap acara.

Pengunjung juga mungkin pernah ke bazar Mak Besar di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapore, Singapore EXPO, dan Turf City, yang kini sudah ditutup, serta di kawasan-kawasan terbuka di Tampines dan Lakeside.

Malah nama 'Mak Besar' juga secara kebetulan merupakan gelaran yang diberikan kepada pengasas dan pengarah urusannya, Haryani Othman.

Latar belakang wanita berusia 46 tahun ini cukup menarik, ibarat bazarnya.

Beliau pernah memegang pelbagai jawatan - eksekutif undang-undang, penerbit televisyen, pelawak dan kini, 'bos' bazar - tetapi pada dasarnya, beliau melihat dirinya sebagai "anggota masyarakat" yang sangat mengambil berat tentang orang yang bekerja dengannya, terutamanya penjual dan kakitangan Mak Besar.

"Saya gemar melihat orang lain gembira," kata Cik Haryani kepada Mediacorp.

"Mak Besar membolehkan saya mencipta ruang gembira di mana semua orang boleh berkumpul dan berseronok bersama."

MEMBAWA KEGEMBIRAAN KEPADA ORANG LAIN
Cik Haryani suka membuat orang ketawa dan tersenyum, sekali gus mendorongnya bekerja dalam televisyen pada awal kariernya. (Gambar: Mak Besar)
Selepas tamat pengajian dengan ijazah perhubungan pada 2003, Cik Haryani mencipta nama dalam arena hiburan tempatan.

Beliau memulakan kerjayanya pada 2006 dalam Gemilang, iaitu rancangan komedi variasi yang dianjurkan oleh Najip Ali.

Ini kemudian membawanya kepada peluang lakonan, dan tidak lama kemudian, beliau menjadi wajah dikenali ramai yang serba boleh bagi saluran televisyen berbahasa Melayu.

Di luar lensa kamera, Cik Haryani menulis dan menerbitkan lebih 20 rancangan televisyen, termasuk kerjasama dengan pelawak Kumar.

Pada tahun 2011 dan 2015, beliau memenangi anugerah bagi penulisannya di Pesta Perdana, yang mengiktiraf bakat dalam industri televisyen Melayu.

"Saya suka terlibat dalam semua projek itu," katanya.

"Saya benar-benar gemar menjadi sebahagian daripada sesuatu yang memberikan penonton apa yang mereka cari apabila mereka menonton drama kegemaran mereka."

Walaupun semasa beliau bekerja dalam produksi televisyen, Cik Haryani juga berjinak-jinak dalam bidang lain, seperti undang-undang.

Setelah memperoleh diploma undang-undang di politeknik sebelum ijazah perhubungannya, Cik Haryani bekerja dalam projek undang-undang secara sambilan pada awal 2010-an dan bahkan melakukan pembangunan perniagaan untuk firma undang-undang pada 2018.

Sekitar pertengahan 2010-an pula, beliau mula menceburi bidang pengurusan acara.
Cik Haryani memenangi anugerah Penulisan Terbaik di Pesta Perdana 2015 untuk rancangan televisyen di Suria. (Gambar: Mediacorp)
"Saya benar-benar tidak berfikir bahawa mengendalikan acara pengguna adalah kerjaya yang mampan pada masa itu.

"Saya mempunyai ramai rakan yang menjadi pegerai bazar dan penganjur, jadi saya hanya ingin mencubanya dan menikmati pengalaman itu," katanya.

Cik Haryani memulakan dengan pemasaran, tetapi ternyata, pengurusan acara adalah gabungan semua perkara yang digemarinya: Berhubung dengan orang, menawarkan peluang untuk mereka berkumpul dan mewujudkan platform untuk pemilik perniagaan dan rakan kongsi sama.

Ia turut menjadi cara baginya untuk bekerja dengan rakan-rakannya, menyokong perniagaan dari rumah dan peniaga kecil-kecilan dalam masyarakat Melayu, dan menawarkan sesuatu yang boleh dinikmati dan dinanti-nantikan warga tempatan.

AMBIL RISIKO JADI PENGASAS 'MAK BESAR'

Menjelang 2017, Cik Haryani menumpukan sebahagian besar tenaganya kepada kerja undang-undang dan pengurusan acara secara bebas.

Walau bagaimanapun, beliau mengalami perselisihan faham dengan sebuah syarikat acara semasa bekerja dalam projek besar, dan itu sekali gus menjadi titik perubahan bagi dirinya.

Beliau menyedari bahawa walaupun beliau menggemari industri itu, berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menguruskan jangkaan kadangkala cukup "meletihkan".

"Ia adalah titik hitam dalam hidup saya. Saya masih gemar melakukan apa yang saya lakukan, tetapi saya juga mula tertanya-tanya sama ada saya harus meneruskan pengurusan acara, atau jika saya harus kembali kepada apa yang selalu memberi kebaikan untuk saya - undang-undang dan media," kongsinya.
Cik Haryani (kiri) bersama rakan baik dan rakan kongsi perniagaannya, pasangan suami isteri Firdaus Faisal dan Lina Liyana Samsi, yang telah bekerjasama dengannya dalam pengurusan acara sejak pertengahan 2010-an. (Gambar: Haryani Othman)
Pada masa itu, Cik Haryani dan sahabatnya - pasangan suami isteri Firdaus Faisal dan Lina Liyana Samsi - sudah mula membina reputasi dalam arena pengurusan acara.

"Kami belum mencipta nama pada masa itu, tetapi mereka dalam bidang ini tahu siapa kami," kata Cik Haryani. "Mereka memberitahu kami untuk tidak berputus asa, untuk terus maju, ada juga yang menggalakkan kami untuk memulakan syarikat acara sendiri."

Galakan itu menyentuh hatinya, namun memulakan perniagaan bukanlah keputusan remeh, dan Cik Haryani amat sedar akan risiko kewangannya.

"Saya mungkin tidak mempunyai anak, tetapi saya adalah seorang isteri dan saya menyara ibu bapa saya bersama adik-beradik perempuan saya," katanya.

"Fid dan Lina mempunyai lima anak. Ia bukan hanya risiko bagi saya- ia akan mempengaruhi kita semua."
Mak Besar pertama berlangsung di Turf Club pada Ogos 2019. (Gambar: Mak Besar)
Yang pasti, apa yang membulatkan tekad dan keazamannya untuk mengambil langkah berani itu adalah sokongan orang di sekelilingnya.

Ibu bapa dan suaminya memberitahu bahawa mereka menyokong keputusannya untuk memulakan perniagaan pengurusan acara.

Bahkan mereka yang pernah bekerjasama dengannya dalam acara-acara sebelumnya turut menawarkan diri untuk bekerja secara percuma di beberapa acara pertamanya, untuk membantunya memulakan perniagaan.

"Saya berasa sangat terharu bahawa mereka benar-benar akan melakukan itu semua untuk saya - dan mereka menepati janji mereka, mereka benar-benar menyumbangkan masa dan tenaga mereka untuk kami secara percuma," kata Cik Haryani.

Pada 2018, Cik Haryani kemudian memutuskan untuk mengambil risiko dan melibatkan Fid dan Lina.

Lina turut mencadangkan untuk menamakan syarikat itu 'Mak Besar'.

Ia terasa tepat - orang ramai percaya pada jenama 'Mak Besar' kerana mereka mempercayai kepimpinan, visi dan hati nurani Cik Haryani.

Syarikat itu kemudian melancarkan acara pertamanya setahun kemudian, Grand Bite di Grandstand, acara makanan di Turf City yang kini tidak lagi beroperasi.

Bagi Cik Haryani, kebimbangan tentang kos, logistik dan operasi pudar apabila ramai orang hadir dan penjualnya turut berjaya.

"Mereka yang bekerja untuk saya secara percuma - kami dapat membayar mereka semua dari apa yang kami peroleh, dan malah lebih lagi," ujarnya.

MEMPERCAYAI DAN MENDENGAR MASYARAKAT

Cik Haryani tahu beliau sedang membina sesuatu yang lebih besar daripada dirinya sendiri - perniagaan yang menyokong bukan sahaja mata pencariannya, tetapi juga banyak penjual dan perniagaan kecil yang turut bergantung kepada acara mereka untuk berkembang maju.
Menguruskan syarikat pengurusan acara juga membolehkan Cik Haryani menggabungkan semua aspek kegemarannya dari laluan kerjayanya sebelum ini. (Gambar: CNA/Izza Haziqah)
"Masyarakat Melayu penuh dengan usahawan," katanya.

"Wanita kreatif menjual produk buatan sendiri mereka. Bapa yang ingin lebih banyak masa bersama anak-anak mereka memulakan perniagaan untuk melibatkan mereka.

"Belia dengan idea yang berani mahu mencubanya bersama rakan-rakan mereka. Saya ingin memberi mereka semua platform."

Tetapi tahun-tahun awal itu meletihkan, kata Cik Haryani, di mana beliau mengendalikan pelbagai tugas sendiri.

"Saya melakukan kerja 10 orang - pemasaran, berhubung dengan selebriti, artis, dan pengurus mereka, pertunjukan langsung, perakaunan," katanya.

"Fid dan Lina menyokong saya, sudah tentu, tetapi saya melakukan sebegitu banyak hanya demi memastikan acara pengguna itu berjaya - bukan sahaja untuk saya dan pasukan saya, tetapi bagi penjual yang telah meletakkan kepercayaan mereka pada kami."

Di Bazar Grandstand tahun itu, terdapat kira-kira 100 penjual makanan dan peniaga runcit, dan kira-kira 50,000 orang hadir.

Kemudian pandemik melanda pada awal 2020, dan Bazar Ramadan tahunan di Geylang Serai, Kampong Gelam dan tempat-tempat lain di kawasan perumahan dibatalkan.
Selepas bazar secara fizikal dibatalkan semasa pandemik, pasukan Mak Besar memulakan Mak Besar Garage, platform e-dagang online untuk penjual. (Gambar: Mak Besar)
Cik Haryani juga sering bimbang tentang penjualnya.

"Rasanya seperti orang bergantung kepada kami untuk membantu mereka mendapatkan semula pendapatan yang hilang," katanya.

"Jadi kami mula penstriman langsung di TikTok dan Instagram, dan kami memulakan platform e-dagang online yang dipanggil Mak Besar Garage."

Penjual membayar yuran kecil kepada syarikat itu untuk dipaparkan, dan untuk Cik Haryani menyiarkan secara langsung dirinya mencuba produk mereka.

"Pasukan saya menyewa studio dan saya berada di skrin selama 12 jam sehari, menjual segala-galanya dari permaidani dan pakaian hingga kuih, aksesori, makanan, dan bahkan perkhidmatan penghantaran, yang juga perniagaan dari rumah.

"Saya makan begitu banyak dan mencuba begitu banyak pakaian secara langsung - ia meletihkan!

"Tetapi kami mempunyai ratusan ribu penonton, dan penjual gembira. Mereka mula melihat keuntungan."

Pemuzik dan penari juga menyiarkan secara langsung persembahan mereka di media sosial untuk menghiburkan penonton yang menonton dari rumah mereka.

"Saya membaca komen semua orang, jadi melihat orang ketawa dalam komen dan menghantar semua mesej manis dan sokongan mereka - itulah yang menjadikan semua kerja ini berbaloi," katanya.

Kini, enam tahun kemudian, Cik Haryani akhirnya mempunyai ruang untuk bernafas.

Beliau kini mengetuai bahagian pemasaran Mak Besar, yang telah berkembang untuk menawarkan perkhidmatan pemasaran di luar acara, sementara Lina dan Fid menguruskan penjualan, pentadbiran, operasi dan logistik.

Apa yang bermula sebagai usaha tiga orang kini menjadi pasukan kira-kira 10 kakitangan sepenuh masa dan 20 pekerja sambilan.

Bagi tahun ini, Mak Besar sudahpun menganjurkan Grand Market di Suntec pada Januari dan Februari, diikuti oleh Bazar Ramadan di Hab Tampines Kita pada Mac.

Acara-acara telah disusun sehingga November, dan setiap edisi mempunyai tema unik.

Sebagai contoh, bazar pada bulan Mei bertemakan FUNWORLD, yang menyasarkan keluarga dengan anak-anak kecil dan penuh dengan kegiatan berpusatkan kanak-kanak seperti istana belon dan persembahan belia.

"Sesetengah orang mungkin berfikir Mak Besar hanyalah bazar biasa - perkara yang sama setiap bulan," katanya.

"Tetapi bagi saya, ia sentiasa berubah kerana saya sentiasa mendengar dan memerhati.

"Saya mahu Mak Besar mencerminkan apa yang diinginkan oleh masyarakat pada bila-bila masa."
Sumber : CNA/IM/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan