Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Majikan gajikan sekurang-kurangnya 10 kakitangan mesti maklumkan MOM tentang pemberhentian pekerja

Syarikat-syarikat yang menggajikan sekurang-kurangnya 10 pekerja perlu memaklumkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang sebarang pemberhentian pekerja mulai 1 Nov.

Anggaran Waktu Membaca:
Majikan gajikan sekurang-kurangnya 10 kakitangan mesti maklumkan MOM tentang pemberhentian pekerja

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 07 Sep 2021 06:56PM Dikemas Kini : 07 Sep 2021 06:57PM

SINGAPURA: Syarikat-syarikat yang menggajikan sekurang-kurangnya 10 pekerja perlu memaklumkan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) tentang sebarang pemberhentian pekerja mulai 1 Nov.

Buat masa ini, para majikan diwajibkan memfailkan notis pemberhentian pekerja hanya jika mereka memberhentikan lima atau lebih kakitangan dalam tempoh enam bulan.

Perubahan itu akan "membolehkan rakan-rakan kongsi perikatan tiga pihak dan agensi-agensi relevan untuk menghulurkan sokongan dan bantuan yang tepat pada masanya kepada para pekerja yang diberhentikan kerja", menurut MOM.

Pemberitahuan itu mestilah difailkan oleh pihak majikan dalam masa lima hari setelah mereka mengeluarkan notis pemberhentian pekerja kepada kakitangan yang terjejas. Syarikat-syarikat yang tidak mematuhi peraturan itu boleh didenda sehingga S$2,000.

Rakan-rakan kongsi perikatan tiga pihak termasuk Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG)dan e2i di bawah naungan NTUC, akan mendampingi para pekerja tempatan yang terjejas untuk mendapatkan pekerjaan baru dan memberikan sokongan dalam usaha mencari kerja baru.

"Para majikan harus memastikan agar mereka menguruskan sebarang pemberhentian pekerja secara bertanggungjawab dan adil, sejajar dengan Garis Panduan Tiga Pihak bagi Pengurusan Tenaga Kerja Berlebihan dan Pemberhentian Pekerja Secara Bertanggungjawab," menurut MOM.

Jumlah pemberhentian pekerja meningkat pada 2020 disebabkan oleh pandemik COVID-19, menjejas 26,110 pekerja berbanding 10,690 pada 2019.

Namun perangkaan suku tahunan menunjukkan bahawa bilangan pemberhentian pekerja merosot pada hujung 2020 dan pada suku pertama 2021.

Butiran lanjut tentang pemberitahuan wajib itu boleh didapatkan di laman MOM.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan