Mahkamah tolak tuntutan batal projek peluasan Heathrow
Datuk Bandar London, Sadiq Khan berserta beberapa majlis tempatan dan pertubuhan kebajikan alam sekitar, gagal dalam tuntutan mahkamah bagi menghalang pelaksanaan projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Britain.
Pesawat-pesawat bersedia untuk mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow. (Gambar: AFP)
LONDON: Datuk Bandar London, Sadiq Khan berserta beberapa majlis tempatan dan pertubuhan kebajikan alam sekitar, gagal dalam tuntutan mahkamah bagi menghalang pelaksanaan projek peluasan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Britain.
Dalam tuntutan mahkamah berkenaan, kesemua pihak terbabit cuba menghalang pembinaan landasan ketiga di lapangan terbang yang terletak di barat London itu.
Mereka menimbulkan banyak kesan negatif akibat pembinaan itu seperti pencemaran bunyi dan udara, kemusnahan habitat, kesesakan lalu lintas serta perubahan iklim.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menolak tuntutan perundangan yang dibuat terhadap Setiausaha Pengangkutan, Chris Grayling itu.
“Perbicaraan hanya bertujuan menetapkan sama ada tuntutan itu sahih dari segi undang-undang dan bukan mengenai merit berhubung Kenyataan Dasar Lapangan Terbang Kebangsaan,” kata Hakim Gary Hickinbottom, yang bersidang bersama Hakim David Holgate ketika membaca keputusan mahkamah.
Dalam pada itu, Encik Grayling meminta "agensi-agensi awam supaya tidak terus membazirkan wang pembayar cukai", dengan cuba menangguhkan projek penting berkenaan.
Kerajaan parti Konservatif, pimpinan Perdana Menteri Theresa May menegaskan bahawa projek bernilai £14 bilion (S$25 bilion) itu akan merangsang ekonomi Britain selepas Brexit.
Ia juga bakal mewujudkan sehingga 114,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Meskipun demikian, kumpulan-kumpulan penentang rancangan itu berazam untuk terus melancarkan kempen mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.