Skip to main content

Kewangan

Mahkamah Tinggi beri kebenaran Hyflux diletakkan di bawah urusan kehakiman

Mahkamah Tinggi Singapura meluluskan permohonan sekumpulan pemiutang bank untuk meletakkan syarikat rawatan air Hyflux, di bawah pengurusan kehakiman.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Tinggi beri kebenaran Hyflux diletakkan di bawah urusan kehakiman

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 16 Nov 2020 09:37PM Dikemas Kini : 16 Nov 2020 09:43PM

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura meluluskan permohonan sekumpulan pemiutang bank untuk meletakkan syarikat rawatan air Hyflux, di bawah pengurusan kehakiman.

Permintaan pengurusan kehakiman itu dibuat oleh kumpulan kerja pemiutang tidak bercagar (UWG) yang termasuk tujuh bank, iaitu Mizuho, Bank Bangkok, BNP Paribas, Bank CTBC, KfW, Bank Pembangunan Korea dan Bank Standard Chartered.

Di bawah pengurusan kehakiman, mahkamah melantik pengurus-pengurus bebas untuk mengendalikan sesebuah syarikat yang mengalami masalah kewangan, bagi menggantikan pengurusan sekarang.

Dalam kes ini, firma penyusunan semula syarikat, Borrelli Walsh, dilantik sebagai pengurus kehakiman bagi Hyflux. Ini bermakna lembaga syarikat itu sekarang ini, termasuk pengasas dan CEO syarikat, Olivia Lum, harus lepaskan jawatan mereka.

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Aedit Abdullah itu dibuat selepas sesi pendengaran yang berlangsung sekitar empat jam lamanya pada Isnin (16 Nov), yang bermula pada 10.00 pagi.

Hakim Aedit mengarahkan bahawa para pengurus kehakiman yang baru dilantik itu kembali ke mahkamah untuk sidang pengurusan kes pada minggu 14 Dis bersama sebuah laporan interim dan jadual. Beliau menyebut kebimbangannya tentang yuran dan masa yang diperlukan.

Hyflux memohon agar perubahan itu tidak dilakukan tetapi ditolak mahkamah.

Peguam-peguam yang mewakili pemegang taruhan lain seperti pemegang tempoh nota sederhana, DBS dan Persatuan Pelabur Sekuriti Singapura (SIAS), menyuarakan bantahan terhadap pengurus kehakiman yang dilantik itu, merujuk kepada "kehadiran konflik kepentingan" dan perlunya ada "pihak yang bebas dan tidak berpihak".

Borrelli Walsh bertindak sebagai penasihat kepada pemiutang-pemiutang bank yang membuat permohonan untuk meletakkan Hyflux di bawah pengurusan kehakiman.

Hakim Aedit juga mengambil kira keprihatinan-keprihatinan tersebut dan menyatakan bahawa pihak-pihak ini boleh memohon bagi mendapatkan pengurus kehakiman tambahan atau gantian dan ia akan didengar pada hari lain.

Dalam membuat keputusan untuk meletakkan Hyflux dalam pengurusan kehakiman, Hakim Aedit menyatakan moratorium yang diawasi mahkamah, yang diberi kepada syarikat tersebut lebih daripada dua tahun lalu, "tidak bertujuan untuk diteruskan tanpa had". Ia hanya bertujuan untuk "memberi penangguhan sementara" bagi syarikat-syarikat untuk menghasilkan rancangan penyelamat yang berdaya maju, tetapi "ini bukan situasinya pada masa ini".

Meskipun beliau sedar akan beberapa komplikasi seperti perubahan dalam pasukan guaman Hyflux dan pandemik COVID-19, Hakim Aedit menambah: "Saya tidak yakin yang alasan yang cukup dibuat bagi sebarang pemberian lanjutan dan ini harus berakhir dalam satu masa."

KES BERLARUTAN LAMA

Lebih dua tahun sudah berlalu sejak Hyflux memohon penyusunan semula kewangan di bawah pengawasan mahkamah pada Mei 2018.

Penyusunan semula hutang bagi salah satu syarikat Singapura yang paling ikonik ini sudah pun menyaksikan beberapa liku-liku dan pusingan. Ini termasuk mengubah keputusan terhadap perjanjian yang sudah ditetapkan. Perkembangan ini terus diperhatikan dengan dekat oleh puluhan ribu pelabur runcit syarikat itu.

Keputusan oleh Mahkamah Tinggi pada Isnin (16 Nov) dibuat meskipun Hyflux sudah memberikan perincian-perincian bagi tawaran baru bagi menyelamatkan syarikat itu pada Jumaat (13 Nov), menjelang sesi pendengaran mahkamah minggu ini.

Syarikat terbaru yang berminat membeli Hyflux, pengurus Dana Amerika Syarikat iaitu Strategic Growth Investments (SGI), menyarankan untuk memperoleh dan menswastakan syarikat rawatan air yang banyak berhutang itu dengan pembelian tunai berharga S$208 juta.

Di bawah cadangan itu, yang melibatkan pengeluaran saham-saham baru dan sekuriti yang boleh ditukarkan, SGI akan membayar S$155 juta kepada sesetengah pemiutang, termasuk S$41.3 juta kepada pemegang sekuriti kekal dan saham keutamaannya. Selain itu ia akan meletakkan S$53 juta dalam satu akaun di bawah kawalan Hyflux untuk tuntutan luar jangkaan dan menyediakan S$60 juta sebagai modal kerja.

Dalam pemohonannya kepada Bursa Saham Singapura pada Jumaat (13 Nov), Hyflux menyatakan bahawa ia menyokong cadangan "menyeluruh" SGI itu.

Tapi situasi ini mungkin tidak tentu kerana SGI menyatakan bahawa ia tidak akan melanjutkan transaksi jika Hyflux menyertai pengurusan kehakiman, kerana proses itu "kemungkinan besar akan mengakibatkan garis masa yang berpanjangan."

Beberapa syarikat lain turut menaruh minat kepada Hyflux termasuk syarikat perbekalan awam Utico dari Amiriah Arab Bersatu, di mana ia menandatangani perjanjian bagi pelaburan bernilai S$400 juta pada November tahun lepas. Perjanjian tersebut sudah pun lupus.

Pelabur lain yang berpotensi ialah Aqua Munda yang Disember lalu menawar untuk membeli hutang pemegang nota Hyflux dan pemiutang tidak bercagar, serta Pison Investments yang pada Julai menyatakan ia akan menawar S$200 juta bagi hutang-hutang Hyflux melalui satu "reverse Dutch auction". 

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita