Skip to main content

Kewangan

M'sia kekal sebagai peneraju kewangan Islam global

Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan sektor itu sudah matang untuk terus cergas dengan pelbagai pemain industri, kata Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah.

Anggaran Waktu Membaca:
M'sia kekal sebagai peneraju kewangan Islam global

Masjid Wilayah Persekutuan Malaysia. (Gambar: Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Facebook)

Diterbitkan : 03 Oct 2018 11:26PM Dikemas Kini : 03 Oct 2018 11:29PM

KUALA LUMPUR: Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju global dalam kewangan Islam dan sektor itu sudah matang untuk terus cergas dengan pelbagai pemain industri, kata Timbalan Menteri Kewangan Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata, Malaysia terus menjadi pemacu utama bagi pasaran sukuk dan mewakili 51 peratus daripada sukuk terkumpul global berjumlah AS$396 bilion (S$545 bilion) pada tahun lalu, sambil terus memimpin industri pengurusan kekayaan Islam dengan 36.5 peratus penguasaan global pada hujung 2017.

"Sejak penubuhannya lebih 30 tahun lalu, kewangan Islam menjadi semakin rancak dengan pelbagai pemain industri, termasuk syarikat perundangan, perakaunan, teknologi dan penarafan serta platform perdagangan komoditi.

"Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan sampingan profesional di Malaysia mempunyai pengalaman luas dan berperanan penting dalam memacu pertumbuhan industri itu melepasi sempadan negara kita," kata Encik Amiruddin Hamzah semasa menyampaikan ucapan pembukaan di Forum Kewangan Islam Global 2018 di Kuala Lumpur, hari ini (3 Okt).

"Malaysia juga menerajui beberapa perkembangan inovatif dalam kewangan Islam, dengan matlamat untuk merangsang industri yang berkembang maju ini, seperti penerbitan Sukuk Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) pertama dan Sukuk Hijau, pelancaran Platform Akaun Pelaburan (IAP) dan pembangunan Dana Waqaf untuk membangunkan ekonomi Islam," katanya.

Tahun lalu, Bank Negara Malaysia menerbitkan kertas strategik mengenai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang menjelaskan strategi untuk memperkukuh peranan dan kesan bank Islam ke arah ekosistem kewangan yang mampan.

EKONOMI M'SIA DIPACU PERMINTAAN DOMESTIK YANG KUKUH

Dalam hal ini, Encik Amiruddin berkata, langkah industri untuk mengguna pakai VBI akan memperkukuh kedudukan kepimpinan Malaysia dan meningkatkan pertumbuhan kewangan Islam untuk menjana kesan positif dan mampan kepada ekonomi, masyarakat dan alam sekitar.

Sementara itu, beliau berkata, ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan walaupun terdapat peristiwa global yang menimbulkan risiko kelembapan pertumbuhan ekonomi global kerana ia disokong oleh permintaan domestik yang mantap serta pertumbuhan dan perdagangan global yang mampan.

Encik Amiruddin selanjutnya berkata, pertumbuhan dijangka berterusan, disokong terutama oleh aktiviti sektor swasta manakala keadaan pasaran pekerja yang positif dan pengembangan kapasiti akan terus menyokong penggunaan swasta dan pelaburan yang teguh.

"Momentum pertumbuhan akan disokong oleh pertumbuhan global dan momentum perdagangan yang mampan, perbelanjaan swasta dan perbelanjaan isi rumah," katanya.

Timbalan Menteri itu berkata, perbelanjaan sektor swasta dijangka mendapat manfaat daripada limpahan positif yang berterusan daripada permintaan luar kerana penunjuk terbaru menunjukkan peningkatan dalam sentimen perniagaan dan pengguna.

"Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan dan perbelanjaan tambahan daripada cuti cukai," tambahnya. 

Sumber : Bernama/AQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita