Skip to main content

Kewangan

Lonjakan harga emas ubah selera pembeli SG kepada jongkong dan syiling

Peruncit emas kini sedang memperbaharui rekaan dan menerima lebih banyak tukar ganti sedang mereka berusaha untuk menarik semula pelanggan, selepas lonjakan harga menjadikan 2025 antara tahun paling hambar bagi jualan barangan kemas sejak kebelakangan ini.
Anggaran Waktu Membaca:
Lonjakan harga emas ubah selera pembeli SG kepada jongkong dan syiling
Lonjakan harga menjadikan 2025 antara tahun paling lemah bagi jualan barangan kemas sejak kebelakangan ini. (Gambar: CNA)
Diterbitkan : 05 Jan 2026 03:02PM
SINGAPURA: Peruncit emas kini sedang memperbaharui rekaan dan menerima lebih banyak tukar ganti sedang mereka berusaha untuk menarik semula pelanggan, selepas lonjakan harga menjadikan 2025 antara tahun paling hambar bagi jualan barangan kemas sejak kebelakangan ini.

Di Singapura, jualan barang kemas emas merosot sebanyak lapan peratus pada suku ketiga tahun lepas berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. Maklumat ini adalah berdasarkan data daripada Majlis Emas Dunia.

Namun, kemerosotan itu diimbangi oleh lonjakan mendadak permintaan pelaburan emas. Pembelian jongkong dan syiling emas melonjak 47 peratus dalam tempoh yang sama, dengan para pembeli semakin beralih kepada emas fizikal sebagai penyimpan nilai.

Peralihan itu menyusuli kenaikan harga yang kukuh, dengan emas meningkat lebih 60 peratus pada tahun lalu, didorong permintaan pelaburan yang mantap dan ketidaktentuan global yang kian meningkat.

CAPAI PARAS REKOD TERTINGGI

Para penganalisis menjangka harga akan kekal tinggi pada tahun mendatang.

Harga spot emas kini diniagakan sekitar AS$4,330 (S$5,569.66) hingga AS$4,400 (S$5,659.70) setiap auns, hampir dua kali ganda berbanding sekitar AS$2,600 (S$3,344.37) setiap auns pada awal tahun lalu.

Harga tertinggi emas bagi setiap auns mencecah sekitar AS$4,550 (S$5,852.64) bulan lalu.

Bagi para peruncit, cabarannya adalah mencari keseimbangan antara kemampuan harga dan daya tarikan, dalam pasaran di mana emas semakin dilihat sebagai sebentuk pelaburan terlebih dahulu, diikuti oleh barangan kemas.

Encik Ho Nai Chuen, presiden Persatuan Tukang Emas Singapura, berkata jongkong emas bertaraf pelaburan diklasifikasikan sebagai Logam Berharga Pelaburan yang dikecualikan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Encik Ho, yang juga pengarah urusan On Cheong Jewellery, salah satu kedai emas Cina tertua yang masih beroperasi di Singapura, berkata keadaan itu turut mempengaruhi tingkah laku para pengguna.

“Itu mendorong sebahagian pengguna untuk memilih jongkong emas berbanding membeli barangan kemas emas, supaya mereka dapat mengekalkan nilai mata wang,” tambah beliau.

Para peruncit menyatakan bahawa permintaan bermusim juga lebih lemah berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan para pengguna menjadi semakin sensitif terhadap harga.

Dengan harga emas terus meningkat, sebahagian pelanggan memilih barangan yang lebih ringan dari segi berat. Antaranya termasuk pesara dan pembeli warga emas, yang sebahagiannya sudah tidak mampu untuk membeli barangan baharu.

Akibatnya, lebih ramai pelanggan menjual atau menukar barangan kemas lama bagi memanfaatkan harga yang lebih tinggi, menurut para peruncit.

TUKAR GANTI EMAS LAMA

Bagi mengatasi jumlah jualan yang lebih lemah, pemborong dan peruncit menyesuaikan rekaan untuk mengekalkan nilai jualan secara keseluruhan.

“Pada masa ini, pengguna mencari sesuatu yang lebih ringan,” kata Cik Chong Cui Xin, pengurus pemerdagangan di G&J Goldsmiths & Jewellery.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kami cuba membawa masuk rantai leher dan gelang (yang) kurang daripada tiga gram, yang lebih mesra dari segi harga untuk para pengguna. (Kami juga) membawa masuk lebih banyak rekaan berongga … untuk memenuhi keperluan para pengguna.”

Ini menandakan perubahan ketara berbanding masa lalu, di mana rantai emas yang lebih berat menjadi antara barangan yang paling popular.

Para penganalisis berkata sebahagian daripada sebab harga emas kekal tinggi terletak pada faktor penawarannya.

Melangkah ke hadapan, mereka menjangkakan emas akan terus menarik minat para pelabur.

Encik Shaokai Fan, ketua global bank pusat dan ketua Asia Pasifik di Majlis Emas Dunia, berkata daya tarikan emas berpunca daripada korelasi rendahnya dengan kelas aset yang lain, memberikannya tingkah laku kewangan tersendiri serta manfaat kepelbagaian yang kukuh.

“Hasilnya, emas mempunyai rekod prestasi yang terbukti sebagai aset selamat apabila terdapat banyak ketidakstabilan dalam pasaran, atau apabila berlakunya peristiwa ‘black swan’ yang besar atau kejadian yang tidak dijangka, seperti perang baharu atau bermulanya satu pandemik,” tambah beliau.

“Emas secara tradisinya berprestasi baik apabila kemungkinan besar pada masa itu, komponen lain dalam portfolio anda mungkin tidak berprestasi sebaik itu, jadi ia memberikan sedikit ketahanan tambahan kepada sesuatu portfolio.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita