Lebih 800 syarikat S'pura tembusi pasaran global separuh pertama 2021
Sekitar 850 syarikat tempatan telah menebarkan sayap ke pasaran baru dalam separuh pertama tahun ini, dengan adanya sokongan pemerintah.
SINGAPURA: Sekitar 850 syarikat tempatan telah menebarkan sayap ke pasaran baru dalam separuh pertama tahun ini, dengan adanya sokongan pemerintah.
Jumlah itu adalah 50 peratus lebih tinggi berbanding 1,300 syarikat Singapura yang menembusi pasaran antarabangsa sepanjang tahun lalu.
Walaupun terpaksa mengharungi cabaran-cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19, syarikat-syarikat menyatakan langkah memperluaskan perniagaan di luar negara memberi peluang terbaik untuk terus beroperasi buat tempoh jangka panjang.
Antaranya, syarikat Kowabunga bakal menembusi pasaran antarabangsa buat pertama kalinya dengan menawarkan konsep taman permainan bagi kanak-kanak.
Taman permainan baru bertemakan alam semula jadi, yang diberi nama ForestPlay, di Kuala Lumpur akan siap menjelang Mac tahun depan.
Ia mungkin kelihatan serupa seperti taman permainan sedia ada di Sentosa. Namun saiznya lebih besar - iaitu hampir tiga kali ganda saiz taman permainan ini.
Kowabunga juga akan menggajikan tujuh pekerja warga Malaysia tetapi sekatan-sekatan sempadan yang dikuatkuasakan sekarang mungkin menimbulkan satu cabaran.
"Ada kemungkinan dua pekerja akan datang ke Singapura dan kami akan menjalankan program latihan bagi para pelatih. Dan ya, kami perlu menimbangkan kosnya seperti kos penerbangan, penginapan dan lain-lain lagi.
"Ia mungkin memerlukan sedikit pelaburan dan sedikit wang untuk melakukan demikian tetapi inilah perkara yang harus kami lakukan. Ia juga tentang mutu perniagaan," kata Naib Presiden Pengembangan Perniagaan Kowabunga! Global Mohd Heikal Yusope.
Menurut Enterprise Singapore, syarikat-syarikat boleh memohon untuk pelbagai geran bagi membantu mereka menebarkan sayap ke luar negara.
Sementara itu, Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) mendedahkan ia telah menerima banyak pertanyaan daripada syarikat-syarikat yang mahu mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.
Malah jumlah pertanyaan meningkat lebih 60 peratus berbanding tahun lalu.
Buat masa ini, terdapat dua pusat perusahaan Singapura yang membantu syarikat-syarikat yang beroperasi di Vietnam dan Indonesia.
Lagi satu pusat akan ditubuhkan di Thailand pada tahun depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.