Lebih 270,000 rakyat, PR diambil kerja di bawah Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan
Lebih 270,000 rakyat dan penduduk tetap Singapura mendapat pekerjaan menerusi sokongan daripada Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) pada Februari, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini (14 Jul).

Pekerja pejabat di sebuah jambatan bawah tanah di daerah perniagaan pusat Singapura pada 29 April 2021. (Gambar fail: Calvin Oh)
SINGAPURA: Lebih 270,000 rakyat dan penduduk tetap Singapura mendapat pekerjaan menerusi sokongan daripada Program Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) pada Februari, menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini (14 Jul).
Beliau menambah separuh daripada 270,000 pekerja yang dibantu JGI menganggur ketika mereka diambil bekerja dan sekitar sepertiga pula sudah tidak bekerja selama lebih enam bulan.
Menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM), sekitar 60 peratus bekerja dalam sektor yang berlainan daripada sebelumnya.
Para pekerja lebih berusia juga diambil bekerja, dengan individu berusia 40 tahun dan ke atas membentuk hampir separuh daripada pengambilan pekerja yang dibantu JGI. MOM menambah sepertiga daripada mereka berusia 50 tahun dan ke atas.
Dr Tan menambah enam daripada 10 pekerja yang diambil bekerja menerima gaji sama atau lebih tinggi berbanding pekerjaan lalu.
Skim subsidi gaji JGI itu diperkenalkan pada Ogos tahun lalu untuk menggalak para majikan meluaskan pengambilan pekerja tempatan. Pemerintah memberi subsidi sehingga 25 peratus daripada S$5,000 pertama gaji pekerja yang layak selama sehingga 12 bulan.
Majikan yang mengambil pekerja tempatan yang matang (berumur 40 tahun dan ke atas), orang kurang upaya dan bekas pesalah boleh menerima 50 peratus daripada S$6,000 pertama gaji bulanan kasar sehingga 18 bulan.
Skim itu sudah dilanjutkan sehingga September.
40% SERTAI SEKTOR PERTUMBUHAN
Seramai 40 peratus daripada 270,000 pekerja yang disokong JGI berada dalam sektor-sektor pertumbuhan seperti perdagangan borong, khidmat-khidmat profesional serta penerangan dan perhubungan.
JGI juga terus menyokong pemulihan dalam khidmat makanan dan sektor runcit - majikan dalam sektor-sektor ini mengambil 20 peratus daripada pekerja di bawah JGI.
Para pekerja yang sudah meraih manfaat daripada insentif itu digajikan oleh 42,000 perniagaan, kebanyakannya (99 peratus) adalah perusahaan kecil dan sederhana (SME), menurut MOM.
Kementerian itu menambah sekitar separuh daripada perniagaan tersebut mengambil satu hingga dua pekerja tempatan manakala bakinya menggajikan lebih dua pekerja.
MOM menyatakan kadar pengangguran penduduk merosot daripada 4.8 peratus pada September tahun lalu kepada 4.1 peratus pada Februari 2021.
GAJIKAN ORANG KURANG UPAYA
MOM menyatakan JGI juga menyokong pengambilan lebih 1,600 pekerja kurang upaya (PwD) pada Februari.
"Ini termasuk PwD yang mungkin sudah lama menganggur tetapi kini boleh mencari pekerjaan dengan sokongan majikan yang progresif," jelas MOM.
Sekitar 60 peratus daripada mereka mengganggur ketika diambil bekerja. Daripada jumlah itu, lebih separuh daripada mereka sudah lebih enam bulan tidak bekerja, tambah MOM.
Sejak 1 Mac, majikan yang layak bagi JGI dan menggajikan orang kurang upaya boleh menerima sokongan pendapatan dipertingkat sehingga 50 peratus daripada S$6,000 pertama gaji bulanan mereka selama 18 bulan.
Selain itu, mereka juga menerima Kredit Menyokong Pengambilan Pekerja Kurang Upaya (EEC) yang diperkenalkan pada 1 Januari di samping JGI. EEC memberikan pengimbangan gaji bagi setiap PwD Singapura yang berpendapatan bawah S$4,000 sebulan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.