Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Lebih $200 juta diagihkan dalam bayaran kedua Skim Sokongan Sewa: IRAS, MOF

Lebih S$200 juta akan diagihkan di bawah bayaran kedua Skim Sokongan Sewa mulai 22 September, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat hari ini (17 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Sep 2021 02:16PM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 10:33PM

SINGAPURA: Lebih S$200 juta akan diagihkan di bawah bayaran kedua Skim Sokongan Sewa mulai 22 September, menurut Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) dan Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat hari ini (17 Sep).

Ini dijalankan sekitar sebulan lebih awal daripada yang dijadualkan, bagi memastikan perniagaan-perniagaan menerima bantuan aliran tunai secepat mungkin, menurut pihak berkuasa.

Bantuan sewa itu akan diberi secara langsung kepada sekitar 35,800 penyewa dan pemilik-penghuni tanpa perlu melalui tuan tanah, membolehkan mereka untuk menerima bayaran dengan segera.

Bayaran kedua diumumkan pada Julai bagi menyokong perniagaan menampung kos-kos sewa semasa Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) antara 22 Julai hingga 18 Ogos.

Ia membentuk sebahagian daripada pakej sokongan bernilai S$1.1 bilion bagi membantu perniagaan dan pekerja yang terjejas oleh langkah sekatan COVID-19.

Bayaran tunai sebanyak separuh daripada jumlah sewa bulanan bagi tempoh antara 22 Julai hingga 18 Ogos akan diberikan kepada perusahaan kecil dan sederhana serta pertubuhan tidak mengaut keuntungan dengan pendapatan tahunan tidak mencecah S$100 juta, dan mereka merupakan penyewa atau pemilik-penghuni hartanah komersil yang layak.

Bayaran pertama sebanyak S$216 juta diagihkan pada Ogos lalu.

Mereka yang menghantar permohonan kepada IRAS untuk bayaran pertama tidak perlu menghantar permohonan bagi bayaran yang kedua. Mereka secara automatik akan mendapat sokongan bayaran sewa jika mereka layak, menurut pihak berkuasa.

Para penyewa dan pemilik-penghuni yang layak akan dimaklumkan melalui kiriman surat dan boleh melihat salinan elektronik surat berkenaan melalui myTax Portal mulai 22 September.

Mereka yang mempunyai aturan bayaran PayNow atau GIRO boleh menjangkakan untuk mendapat bantuan bayaran sewa itu mulai 22 September, sementara mereka yang tidak mempunyai aturan bayaran sedemikian akan menerima bayaran melalui cek menjelang 6 Oktober.

Perniagaan-perniagaan yang layak namun tidak menerima sebarang pemberitahuan bayaran harus menghantar permohonan kepada IRAS antara 29 September dengan 12 November, menurut pihak berkuasa.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan