Skip to main content

Kewangan

Lazada lancar Saluran Halal, jalin kerjasama S$1 juta dengan One Kampong Gelam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lazada Singapore seawal esok (15 Mac) akan melancarkan satu saluran baru di wadahnya yang hanya menjual produk halal dan barangan keperluan masyarakat Melayu/Islam tempatan.

Untuk merancakkan usahanya menembusi pasaran halal, syarikat e-dagang itu pagi tadi (14 Mac) menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) bernilai S$1 juta bersama One Kampong Gelam (OKG).

Menerusi kerjasama tersebut, lebih 200 peniaga di kawasan Kampong Gelam akan diajak berniaga di platform Lazada tanpa perlu membayar sebarang yuran pendaftaran.

Syarikat e-dagang itu bahkan akan memberikan kredit yang boleh digunakan untuk memasang iklan di platform mereka. Ini semestinya satu tawaran cukup memikat kerana platform Lazada diketahui begitu popular dan dijangka mempunyai 300 juta pengguna menjelang 2030.

Pengerusi OKG, Menteri Negara Dr Faishal Ibrahim dan Ketua Eksekutif Lazada Singapore semasa pemeteraian MOU. (Gambar: Lazada Singapore)

Di bawah MOU yang dimeterai juga, Lazada bakal menganjurkan pelbagai seminar buat para peniaga supaya mereka dapat mengenal pasti trend-trend dalam dunia e-dagang dan mempelajari selok-belok memasarkan produk mereka secara berkesan.

OKG ALU-ALUKAN KERJASAMA, HARAP DAPAT BANTU PENIAGA

"Menerusi usaha membantu para peniaga berjaya pada wadah e-dagang, (kami mendapati) bantuan yang khusus dapat membantu mereka menjadi lebih berdaya saing - terutama sekali dalam masyarakat berbilang budaya yang unik di negara ini," ulas Ketua Eksekutif Lazada Singapore, Encik Loh Wee Lee dalam bahasa Melayu kepada BERITAmediacorp.

"Penting juga bagi kami untuk memastikan barangan dan makanan yang tersedia di laman Lazada memenuhi keperluan masyarakat. (Maka itu,) saluran Halal kami yang baru direka untuk menyokong para peniaga Halal dan pelanggan Muslim. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan masyarakat Kampong Gelam," kata Encik Loh sambil menambah, kerjasama pertama dijalin dengan OKG kerana banyak barangan yang dijual di kawasan itu memenuhi keperluan masyarakat Melayu.

Saluran Halal Lazada yang akan dilancarkan pada 15 Mac 2022. (Gambar: Lazada Singapore)

Pengerusi OKG, Encik Zaki Maarof, turut mengalu-alukan kerjasama dengan Lazada kerana beliau percaya ini akan menjadi satu peluang untuk menghidupkan kembali perniagaan di Kampong Gelam yang turut terjejas teruk oleh pandemik COVID-19.

"Kita sudah melihat kesan pandemik, dan salah satu cara untuk mengatasinya adalah melalui transformasi digital - yang tidak akan hanya menguntungkan para peniaga, tetapi juga masyarakat. Menerusi kerjasama selama setahun bersama Lazada Singapore, kami berharap dapat memanfaatkan kekuatan mereka - dari segi logistik hinggalah kepada penggunaan baucar digital," ujar Encik Zaki.

(Gambar fail: Shaun Chai/Google)

BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa Lazada sudahpun mendekati para peniaga di kawasan Kampong Gelam dan sebilangan daripada mereka sudah setuju untuk berniaga di platform e-dagang itu.

Lazada bagaimanapun tidak dapat membutirkan seberapa ramai peniaga yang sudah setuju untuk berbuat demikian setakat artikel ini diterbitkan.

KEMPEN 4.4 BERTEPATAN BULAN RAMADAN

Yang pasti, para usahawan di Kampong Gelam boleh mula memanfaatkan platform Lazada seawal bulan Ramadan nanti.

Menurut Lazada Singapore, ia akan mengadakan kempen '4.4' dan ini akan dijalankan bertepatan beberapa hari pertama bulan Ramadan. Kampong Gelam akan menjadi rakan utama kempen itu.

Ini bermakna, para pelanggan boleh menjangkakan pelbagai tawaran menarik daripada peniaga Kampong Gelam, tanpa perlu turun padang ke kawasan itu dan sebaliknya membeli-belah menerusi Lazada sahaja.



Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Dr Muhammad Faishal Ibrahim, yang menyaksikan pemeteraian MOU antara Lazada dengan OKG itu pagi tadi (14 Mac), menyatakan beliau gembira kerjasama itu akan sekali gus memeriahkan kembali sambutan Ramadan.

"Pandemik COVID-19 sudah menjejas sambutan Hari Raya di Singapura sepanjang dua tahun lalu. Kami melakukan beberapa penyesuaian demi melindungi masyarakat sedang kami mahu mereka terus menikmati sambutan Ramadan," menurut Dr Faishal.

"Kami gembira OKG akan bekerjasama dengan Lazada Singapore, yang akan membantu para peniaga dalam transformasi digital masing-masing dan membantu mengekalkan warisan masyarakat Melayu/Islam di Kampong Gelam."

RedMart, pasar raya online pertama Singapura yang turut tersedia di Lazada, juga dijangka menampilkan produk-produk halal di saluran baru Lazada.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita