Skip to main content

Kewangan

Laba Q2 OCBC jangkaui ramalan; diunjur tepati sasaran 2024

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bank kedua terbesar Singapura, Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC), melaporkan pada Jumaat (2 Ogos) keuntungan bersih sebanyak 14 peratus pada suku kedua berbanding tempoh yang sama setahun lalu, lebih kukuh daripada yang diramalkan dan dijangka akan mencapai sasaran 2024.

"Sedang kami memandang ke hadapan, kami tetap berwaspada terhadap tahap ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan OCBC, Helen Wong dalam kenyataannya.

"Dengan kedudukan modal kami yang kukuh, asas pendapatan yang pelbagai dan pendekatan berhemat terhadap pengurusan risiko, kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi landskap makroekonomi yang mencabar," tambahnya.

OCBC, yang juga pemiutang kedua terbesar di Asia Tenggara berdasarkan aset, menyatakan keuntungan bersih bagi tempoh antara April hingga Jun meningkat kepada S$1.94 bilion daripada S$1.71 bilion setahun yang lalu, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pendapatan dan penurunan elaun.

Ini melebihi anggaran purata S$1.82 bilion atau jangkaan bagi kenaikan 6.4 peratus berbanding setahun lalu, daripada lima penganalisis yang ditinjau oleh LSEG.

OCBC mengekalkan panduan pendapatan 2024 bagi margin faedah bersih dalam julat antara 2.20 peratus hingga 2.25 peratus, pertumbuhan pinjaman satu angka yang rendah, kos kredit antara 20 hingga 25 mata asas dan 50 peratus pembayaran dividen, menurut Cik Wong.

Pendapatan bank itu diumumkan selepas United Overseas Bank (UOB) yang lebih kecil, pada Khamis (1 Ogos) melaporkan peningkatan 1 peratus pada keuntungan bersih suku kedua kepada S$1.43 bilion berbanding setahun lalu, sejajar dengan anggaran.

Pengumuman oleh UOB dan OCBC minggu ini memulakan musim pengumuman pendapatan bank-bank Singapura, yang telah mendapat manfaat daripada aliran masuk kekayaan yang kukuh ke Asia hasil kestabilan politiknya, cukai yang rendah dan dasar yang memihak kepada perusahaan keluarga dan amanah.

Keputusan suku kedua OCBC menunjukkan lonjakan 17 peratus berbanding setahun lalu bagi yuran pengurusan kekayaan kepada S$212 juta, manakala aset yang diuruskannya meningkat 2 peratus kepada paras rekod S$279 bilion.
Sumber : Agensi berita/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita