Skip to main content

Kewangan

Laba DBS naik 9% ke paras rekod; cecah S$3.08 bilion pada Q2

DBS Group mencatat keuntungan bersih suku kedua sebanyak S$3.08 bilion, naik 9 peratus berbanding S$2.82 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Laba DBS naik 9% ke paras rekod; cecah S$3.08 bilion pada Q2

Orang ramai menggunakan mesin ATM DBS di Singapura pada 31 Mac 2022. (Gambar: REUTERS/Caroline Chia)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 08:57AM
SINGAPURA: DBS Group mencatat keuntungan bersih suku kedua sebanyak S$3.08 bilion, naik 9 peratus berbanding S$2.82 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Keuntungan itu merupakan rekod tertinggi bagi satu suku dan menjangkaui anggaran purata S$2.88 bilion yang diunjurkan oleh tiga penganalisis, menurut data LSEG.

Prestasi tersebut didorong oleh yuran pengurusan kekayaan, penjualan perbendaharaan dan pendapatan dagangan yang kukuh, sekali gus mengimbangi tekanan daripada kadar faedah yang lebih rendah.

DBS, bank terbesar Singapura dan pemiutang terbesar Asia Tenggara dari segi aset, turut meningkatkan unjuran prestasinya bagi keseluruhan 2026.

Margin faedah bersih, ukuran utama keuntungan bank, merosot kepada 1.87 peratus daripada 2.05 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Namun, kesannya diimbangi oleh pertumbuhan kukuh pada pinjaman dan deposit.

ASET PENGURUSAN KEKAYAAN LEPASI S$500 BILION

Ketua Pegawai Eksekutif DBS Tan Su Shan berkata bank itu mencatat prestasi kukuh bagi separuh pertama tahun ini, disokong oleh perniagaan pengurusan kekayaannya.

Aset-aset di bawah pengurusannya bagi bahagian pengurusan kekayaan melepasi S$500 bilion buat pertama kali.

DBS kini menjangkakan jumlah pendapatan bagi 2026 akan melepasi paras tahun lalu.

Pendapatan faedah bersih kumpulan pula dijangka semakin menghampiri paras yang dicatatkan pada 2025.

Bank itu turut menaikkan unjuran pertumbuhan pendapatan bukan faedah bagi perniagaan komersial kepada lingkungan belasan peratus, dipacu oleh pengurusan kekayaan.

DBS menjangkakan kadar faedah kekal pada paras semasa, manakala pertumbuhan deposit dijangka berada pada julat satu angka yang tinggi.

DIVIDEN 81 SEN SESAHAM

DBS mengumumkan dividen keseluruhan sebanyak S$0.81 bagi setiap saham pada suku kedua.

Ia terdiri daripada dividen biasa S$0.66 sesaham dan dividen pulangan modal S$0.15 bagi setiap saham.

Jumlah dividen yang dijangka dibayar adalah sekitar S$2.3 bilion.

Pulangan ekuiti bank itu turut meningkat kepada 17.9 peratus daripada 16.7 peratus setahun lalu.

Pengumuman mengenai pendapatan DBS membuka musim pengumuman prestasi kewangan suku kedua bagi bank-bank di Singapura.

OCBC dan UOB dijadual akan mengumumkan pendapatan masing-masing pada Jumaat (7 Ogos).
Sumber : Reuters/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita