Skip to main content

Kewangan

Laba 6 bulan SIA merosot 68%

Singapore Airlines (SIA) mengalami kemerosotan hampir 68 peratus pada laba bersih bagi tempoh enam bulan pada Khamis (13 Nov), akibat persaingan yang semakin sengit, pendapatan faedah yang lebih rendah dan kerugian daripada syarikat penerbangan sekutunya, Air India.
Anggaran Waktu Membaca:
Laba 6 bulan SIA merosot 68%
Para penumpang melihat pesawat Airbus A350-900 milik Singapore Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand pada 10 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/William West)
SINGAPURA: Singapore Airlines (SIA) mengalami kemerosotan hampir 68 peratus pada laba bersih bagi tempoh enam bulan pada Khamis (13 Nov), akibat persaingan yang semakin sengit, pendapatan faedah yang lebih rendah dan kerugian daripada syarikat penerbangan sekutunya, Air India.

Menurut SIA, laba bersih setengah tahunnya adalah S$239 juta bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 September, berbanding S$742 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya dan ramalan Visible Alpha yang mengunjurkan S$341.9 juta.

Jumlah perbelanjaan meningkat S$170 juta meskipun kos bahan api bersih menurun. Peningkatan itu mencerminkan pengembangan kapasiti syarikat penerbangan tersebut serta tekanan inflasi terhadap beberapa komponen kos.

Pendapatan faedah syarikat itu juga merosot sebanyak S$103 juta disebabkan oleh baki tunai lebih kecil dan pemotongan kadar faedah, manakala bahagian hasil daripada syarikat sekutu, dengan sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian Air India.

Pendapatan Air India tidak termasuk dalam hasil pendapatan kumpulan tersebut pada tahun sebelumnya. SIA mula mengambil kira prestasi syarikat penerbangan India itu sejak Disember 2024, selepas menyelesaikan integrasi usaha sama Vistara ke dalam Air India.

SIA memegang 25.1 peratus kepentingan dalam syarikat penerbangan India tersebut, yang disifatkannya sebagai sebahagian daripada “strategi pelbagai hab jangka panjang” untuk memiliki kepentingan dalam “salah satu pasaran penerbangan terbesar dan paling berkembang pesat di dunia”.

“Walaupun berdepan cabaran berterusan, SIA Group tetap komited untuk bekerjasama dengan rakan kongsi Tata Sons untuk menyokong program transformasi menyeluruh Air India yang mengambil masa selama beberapa tahun.”

Syarikat itu mengumumkan dividen sementara sebanyak lima sen Singapura setiap saham dan dividen khas sementara sebanyak tiga sen Singapura bagi setiap saham.

Ia turut menyatakan bahawa permintaan bagi perjalanan udara kekal berdaya tahan, disokong tempoh puncak hujung tahun.

“Industri penerbangan terus berdepan cabaran daripada ketegangan geopolitik, tekanan ekonomi makro, tekanan kos inflasi dan kekangan rantaian bekalan,” kata syarikat itu.

“SIA Group kekal berada pada kedudukan kukuh untuk menghadapi persekitaran ini, disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh, pengurusan kos berdisiplin, keupayaan digital yang mantap, serta tenaga kerja yang berbakat dan berdaya tahan.”
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita