Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kurang tenaga kerja, industri sawit M'sia terlepas peluang raih untung

Industri minyak kelapa sawit Malaysia sedang bergelut dengan cabaran memenuhi kekurangan minyak makan secara global.

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Industri minyak kelapa sawit Malaysia sedang bergelut dengan cabaran memenuhi kekurangan minyak makan secara global.

Para pemimpin industri sawit menyatakan kekurangan teruk pekerja mungkin menyebabkan lebih banyak kerugian.

Ini juga bermakna Malaysia boleh terlepas peluang keemasan untuk memanfaatkan sepenuhnya harga minyak sawit yang melonjak tinggi.

Di sebuah ladang sawit yang cukup luas di Malaysia, pemiliknya, Mohd Shahrul Haizam Shafei, berdepan dengan masalah untuk menuainya. Beliau hanya mempunyai seorang pekerja sahaja untuk membantunya berbuat demikian.

"Kapasiti buah tadi itu kalau masa sekarang ini boleh dapat 200 hingga 250 tan. Sepatutnya kalau ada pekerja, boleh dapat lebih seperti 300 tan atau lebih. Jadi ada kerugian di situ dalam 50 tan," kata Encik Mohd Shahrul.

Masalah sebegini turut dialami banyak pemilik ladang kelapa sawit lain di negara ini.

Malaysia merupakan pengeluar kelapa sawit kedua terbesar di dunia.

Bagaimanapun, ia kini kekurangan sekurang-kurangnya 1.2 juta pekerja bagi industri seperti pertanian, pengilangan dan binaan.

Kekurangan tersebut semakin meruncing sedang setiap hari permintaan bagi produk kelapa sawit terus meningkat sejak sekatan COVID-19 dilonggarkan.

Jika masalah tenaga kerja ini berterusan, Malaysia akan gagal memanfaatkan peluang daripada harga komoditi minyak sawit yang naik menjulang.

"MPOC (Majlis Kelapa Sawit Malaysia) sudah menyatakan para peladang mungkin mengurangkan lagi pendapatan mereka antara 5 hingga 10 peratus," ujar Pengamat Kanan Bower Group Asia, Arinah Najwa Ahmad Said.

Malaysia, yang merupakan hab utama dalam rantaian bekalan global, juga bergantung kepada jutaan pekerja asing bagi sektor pertanian.

Meskipun sudah menarik balik sekatan terhadap pengambilan pekerja hijrahan pada Februari lalu, Malaysia belum menyaksikan kemasukan ketara pekerja hijrahan kerana lambat mendapat kelulusan.

Dalam pada itu, persatuan industri, syarikat dan para diplomat menambah rundingan berlanjutan dengan Indonesia dan Bangladesh berhubung perlindungan pekerja juga tidak membantu isu tersebut.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan