Skip to main content

Kewangan

Kumpulan industri gesa pembaharuan sewa runcit, cadang had bagi penyewa asing

Pengurus besar rangkaian runcit optik, Bernard Yang, berdepan dengan dua cabaran besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini – jualan yang perlahan dan kos operasi yang kian meningkat, termasuk jumlah sewa.

Anggaran Waktu Membaca:
Kumpulan industri gesa pembaharuan sewa runcit, cadang had bagi penyewa asing

Bahagian dalam sebuah pusat beli-belah di Singapura. (Gambar: CNA)

SINGAPURA: Pengurus besar rangkaian runcit optik, Bernard Yang, berdepan dengan dua cabaran besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini – jualan yang perlahan dan kos operasi yang kian meningkat, termasuk jumlah sewa.

Tekanan tersebut mendorong Nanyang Optical membuat beberapa keputusan sukar bagi cawangannya di Marine Parade, antaranya memendekkan waktu kerja kakitangan sambilan dan mengecilkan unitnya kepada hampir separuh.

“Ini soal kemampuan,” kata Encik Yang kepada Mediacorp.

“Jika kami mengekalkan unit yang sama, saya rasa ia akan menjadi sangat sukar untuk masa depan, kerana saya lihat tabiat perbelanjaan pengguna sudah banyak berubah. Ramai yang selesa membeli secara online, atau membeli dari luar negara,” tambahnya.

Disebabkan itu, syarikat tersebut kini memberi tumpuan untuk membangunkan platform e-dagangnya dan mempertimbangkan model “peruncitan hibrid” pada masa hadapan.

Kos sewa yang melambung – isu yang sudah lama dihadapi para peniaga – mendorong koperasi Pengerusi Penyewa Singapura Bersatu Demi Keadilan (SGTUFF), yang mewakili lebih 700 pemilik perniagaan, menerbitkan satu kertas putih baharu baru-baru ini.

Kumpulan itu menyatakan bahawa kos sewa boleh merangkumi antara 30 hingga 50 peratus daripada hasil jualan bagi sektor makanan dan minuman (F&B) serta peruncitan.

“Tanpa campur tangan undang-undang dalam hal ini, ramai pengusaha kecil tempatan yang masih bertahan tidak akan mampu untuk terus beroperasi,” menurut kertas putih tersebut.

“Singapura secara keseluruhan juga akan mengalami kerugian apabila daya tarikan dan semangat masyarakat dalam sektor membeli-belah dan makanan tempatan semakin terhakis.”

Meskipun sewa runcit di seluruh Singapura kekal stabil pada suku pertama tahun ini, menurun sebanyak 0.5 peratus menurut Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), secara purata 450 kedai runcit ditutup setiap bulan dalam tempoh tersebut.

Tahun lalu, lebih 3,000 premis makanan dan minuman (F&B) ditutup di negara ini – angka tertinggi sejak hampir dua dekad lalu iaitu pada 2005. Para pemilik perniagaan sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa kos operasi yang kian meningkat, termasuk sewa, menjejaskan perniagaan mereka.
Related article image
Sebuah pusat beli-belah di Singapura. (Gambar: CNA)
CADANGAN BAGI HAD JUMLAH SEWA

SGTUFF menggesa pembaharuan sewa runcit termasuk mengehadkan kadar kenaikan sewa semasa pembaharuan, memperuntukkan lebih banyak lokasi utama buat perniagaan tempatan, dan mengenakan denda ke atas tuan tanah yang membiarkan ruang kedai kosong selama lebih tiga bulan.

Ia juga mencadangkan dasar khusus untuk menangani kehadiran “pemain baharu dan asing” yang mempunyai modal besar dan rantaian bekalan dengan kos rendah, yang sanggup membayar sewa tinggi.

Antara cadangannya termasuk cukai tambahan ke atas penyewa runcit bukan tempatan, kuota pekerja asing yang lebih ketat, dan levi lebih tinggi bagi pekerja asing.

Kumpulan itu turut menggesa pihak pemerintah mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak ruang runcit bukan hanya kepada pemilik hartanah swasta, tetapi juga koperasi perusahaan sosial atau entiti bukan berasaskan keuntungan.

Pengerusi SGTUFF, Encik Terence Yow, berkata cadangan had pembaharuan sewa itu diilhamkan daripada amalan di beberapa negara maju seperti Jepun dan Sweden, di mana kadar sewa ditentukan berdasarkan formula seperti indeks harga pengguna (CPI).

“Kami percaya bahawa indeks seperti ini sangat adil ... dan mencerminkan keadaan pasaran sebenar, berbanding kenaikan harga yang sewenang-wenangnya, yang terlalu mengejutkan bagi perniagaan hari ini,” katanya kepada Mediacorp pada Isnin (2 Jun).

PERBINCANGAN DENGAN PIHAK BERKUASA

Encik Yow turut berkata, walaupun sewa runcit pada masa ini perlu mematuhi kod amalan bagi memastikan rundingan adil antara penyewa dan pemilik, ia masih belum mencukupi.

“Kami berpendapat (isu) terpenting adalah kekurangan ruang runcit utama berbanding permintaan sedia ada dan baharu,” katanya.

“Sama ada pemain tempatan baharu atau pemain asing besar, (mereka) terus menunjukkan minat dan sanggup membayar serta membida kadar sewa yang sangat tinggi dan membayar harga yang jauh melebihi harga pasaran untuk tenaga kerja tempatan."

Beliau berkata lonjakan kos sewa merupakan isu mendesak yang telah lama dibangkitkan kumpulannya. Namun "gabungan beberapa faktor" seperti kekurangan tenaga kerja dan penurunan perbelanjaan pengguna telah memburukkan lagi keadaan, sekali gus mendorong seruan baharu untuk mengambil tindakan.

Kumpulan tersebut kini sedang berbincang dengan Enterprise Singapore dan berharap dapat memeterai beberapa persetujuan dalam bulan-bulan akan datang.

“Kami sedar bahawa hubungan ini bersifat simbiotik. Penyewa memerlukan pemilik premis untuk berjaya, dan pemilik pula memerlukan penyewa yang berjaya,” tambah Encik Yow.

“Jadi kami berharap dalam beberapa bulan akan datang, kami dapat segera mencapai persetujuan tentang langkah yang betul, mendesak, bagi jangka pendek dan jangka panjang – dan mula melaksanakan sebahagian daripadanya.”

"ANDA AKAN LIHAT PASARAN TERJUNAM"

Para penganalisis berpendapat bahawa masalah ini tidak mungkin dapat diselesaikan dalam masa terdekat, terutamanya apabila semakin banyak syarikat antarabangsa memasuki pasaran Singapura.

“Jika ia dianggap sebagai tempat yang selamat dalam ketidaktentuan geopolitik, pelabur akan melihat kepada Singapura untuk melabur, walaupun mereka tidak memahami persekitarannya sepenuhnya – dan pelaburan itu bukan semata-mata untuk keuntungan kapitalistik, tetapi kerana terdapat unsur tempat yang selamat,” kata Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Savills Singapura, Alan Cheong.

“(Keberadaan di) tempat yang selamat tidak semestinya bermaksud mereka perlu menjana nilai ekonomi tambahan untuk diri mereka atau untuk ekonomi secara keseluruhan.

“Akibatnya, ekosistem perniagaan seperti rangkaian tempatan yang sedia ada dalam sektor F&B dan peruncitan turut terjejas akibat kemasukan modal besar ini.”

Encik Cheong memberi amaran bahawa situasi tersebut boleh menyebabkan jenama asing mendominasi lokasi utama di pusat beli-belah.

Beliau mencadangkan, selain memperlahankan atau membekukan kenaikan kadar sewa, tuan tanah turut boleh memainkan tanggungjawab sosial dengan tidak mengejar penyewa yang mampu membayar jumlah yang lebih tinggi semata-mata.

Mediacorp telah menghubungi semua tuan tanah utama, namun kebanyakannya enggan memberi komen.

Lendlease – pemaju di sebalik beberapa pusat beli-belah seperti 313@somerset dan Jem – menyatakan mereka mengambil pendekatan khusus untuk menyokong penyewa mengikut tahap dan bentuk perniagaan masing-masing, termasuk menerusi kedai pop-up.

Encik Yow memberi amaran bahawa tanpa perubahan dalam isu sewa, “pusat beli-belah tiruan” akan mula muncul dan orang ramai tidak akan lagi terdorong untuk mencuba membuka perniagaan kecil.

“Saya rasa anda akan lihat pasaran menjunam. Anda akan terus lihat... lebih ramai pemain kecil tempatan – kebanyakannya yang telah berniaga selama 5, 10, 20, 30 tahun – terus keluar dari pasaran kerana ia tidak lagi mampan,” katanya.

“Mereka tidak boleh sekadar terus menaikkan harga. Ia tidak akan menyelesaikan masalah.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita