Krisis 737 MAX: Boeing pecat eksekutif kanan
Boeing Co pada Selasa (22 Okt) memecat ketua eksekutif divisyen pesawat komersil Kevin McAllister, menandakan pelepasan jawatan tinggi pertama sejak dua nahas 737 MAX yang membawa maut.
Gambar fail: Model pesawat 737 MAX diletak di hadapan muka Encik Kevin McAllister (Gambar: Reuters/Pascal Rossignol)
SEATTLE: Boeing Co pada Selasa (22 Okt) memecat ketua eksekutif divisyen pesawat komersil Kevin McAllister, menandakan pelepasan jawatan tinggi pertama sejak dua nahas 737 MAX yang membawa maut.
Syarikat itu mengumumkan eksekutif veteran Boeing, Stan Deal untuk menggantikan Encik McAllister sebagai presiden dengan serta-merta dan ketua eksekutif Penerbangan Komersil Boeing (BCA). Encik Deal sebelum ini mengetuai divisyen Perkhidmatan Global Boeing.
Pengeluar terbesar pesawat itu sedang menghadapi krisis semakin besar berhubung larangan selama lapan bulan ke atas model pesawat paling larisnya selepas dua nahas di Indonesia dan Habsyah yang meragut 346 nyawa.
Pengumuman pada Selasa (22 Okt), sehari sebelum syarikat itu dijadual mengeluarkan laporan kewangan suku tahunannya, mengejutkan sebilangan kakitangan.
Sumber dalaman menyifatkan Encik McAllister sebagai "kambing hitam" dan menarik perhatian bahawa Encik McAllister hanya mengetuai BCA pada tahap lewat pembangunan 737 MAX.
Encik McAllister, yang dikenali di kalangan pemain industri, telah menjalin hubungan mendalam dengan pelanggan-pelanggan utama syarikat penerbangan ketika menjual khidmat bagi Generel Electric Co dalam jawatannya sebelum ini.
Beliau bersama-sama ketua penjualan Ihssane Mounir berjaya meningkatkan penjualan Boeing. Rentak penjualan menjadi perlahan apabila MAX digantung khidmat di merata dunia pada Mac.
Encik McAllister tidak dapat dihubungi untuk memberi ulasan.
Seorang yang mengikuti perkembangan itu berkata Boeing memberitahu para kakitangan tentang "perpisahan" dengan Encik McAllister, menandakan bahawa beliau telah dipecat.
Seorang lagi sumber memberitahu bahawa Boeing meminta Encik McAllister supaya meletak jawatan tanpa memberi sebarang penjelasan. Beliau menambah keputusan tersebut bukan sepenuhnya berkaitan dengan pesawat MAX.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.