Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Korea Selatan denda BMW AS$10 juta atas respons terhadap kebakaran enjin

Korea Selatan menyatakan hari ini (24 Dis) bahawa ia akan mengenakan denda AS$10 juta (S$13.73 juta) terhadap syarikat pembuat kereta Jerman, BMW.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Dec 2018 04:46PM Dikemas Kini : 24 Dec 2018 09:16PM

SEOUL: Korea Selatan menyatakan hari ini (24 Dis) bahawa ia akan mengenakan denda AS$10 juta (S$13.73 juta) terhadap syarikat pembuat kereta Jerman, BMW. Ini kerana syarikat itu dipercayai tidak mengambil tindakan segera untuk menarik balik kenderaannya yang mempunyai masalah enjin, yang dikaitkan dengan puluhan kes melibatkan kebakaran enjin.

Kenderaan-kenderaan BMW yang terbakar menjadi berita hangat di Korea Selatan pada awal tahun ini, dengan media tempatan melaporkan terdapat lebih 40 kes berkenaan pada 2018. Sesetengah tempat letak kereta juga enggan menerima kenderaan-kenderaan BMW atas kebimbangan bahawa ia mungkin terbakar.

Syarikat pembuat kereta itu sudahpun menarik balik lebih 170,000 kenderaan BMW di Korea Selatan, dengan menyalahkan alat pendingin peredaran semula gas ekzos (EGR) yang rosak sebagai menyebabkan kebakaran tersebut.

Pada Ogos lalu, syarikat itu mengumumkan penarikan balik kenderaan-kenderaan berkenaan di Eropah serta beberapa negara Asia, termasuk Korea Selatan. Sejumlah 480,000 kereta terjejas akibat masalah yang sama, sebelum lebih sejuta kereta diesel turut ditarik balik dua bulan kemudian.

"Sebelum ini, BMW mengumumkan bahawa ia hanya sedar mengenai kaitan antara kerosakan pada alat pendingin EGR dengan kebakaran itu pada 20 Julai 2018," menurut Kementerian Pengangkutan Korea Selatan dalam satu kenyataan, sambil mengumumkan hasil siasatan yang dijalankan selama lima bulan.

"Bagaimanapun, kami mendapati bahawa... ibu pejabat BMW di Jerman sudahpun membentukkan sebuah pasukan khas pada Oktober 2015 yang ditugaskan untuk menghuraikan masalah alat pendingin EGR."

Selain denda yang dikenakan, kementerian itu juga akan meminta pihak pendakwa raya supaya menyiasat BMW kerana dipercayai sengaja menangguhkan pengakuan tersebut dan mengambil masa sebelum menarik balik kenderaan-kenderaan terjejas.

Enam daripada 10 kereta yang diimport ke Korea Selatan adalah dari Jerman, dengan BMW menjual hampir 39,000 kenderaan pada separuh pertama tahun ini, menurut Persatuan Pengimport dan Pengedar Kenderaan Korea.  

Sumber : AFP/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan