Skip to main content

Kewangan

Kini lebih banyak peluang di Rusia bagi syarikat pemula tempatan

Syarikat-syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan akan mendapat lebih banyak sokongan untuk mengakses pasaran Rusia setelah Moscow dimasukkan ke dalam rangkaian Perikatan Inovasi Sejagat (GIA), menurut Enterprise Singapore (ESG) hari ini (9 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Syarikat-syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan akan mendapat lebih banyak sokongan untuk mengakses pasaran Rusia setelah Moscow dimasukkan ke dalam rangkaian Perikatan Inovasi Sejagat (GIA), menurut Enterprise Singapore (ESG) hari ini (9 Nov).

Sementara itu, syarikat-syarikat pemula dan SME dari Rusia juga boleh menjadikan Singapura sebagai batu loncatan untuk meneroka peluang di Asia Tenggara.

Peluasan GIA, iaitu sebuah program yang bertujuan membangunkan perkongsian rentas sempadan, diumumkan oleh Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong dalam satu ucapan dasar semasa Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura.

Penolong CEO bagi Inovasi dan Perusahaan di ESG, Edwin Chow berkata: "Dengan penyertaan Moscow ke dalam rangkaian GIA kami, syarikat-syarikat pemula dan SME tempatan boleh memperolehi rakan-rakan kongsi inovasi dan perniagaan sedang mereka menebar sayap ke Rusia dan menjangkauinya.

"Kami turut mengalu-alukan syarikat-syarikat pemula Rusia dan sejagat untuk memanfaatkan Singapura sebagai sebuah pangkalan menerusi program ini bagi meneroka pasaran lain di Asia Tenggara."

ESG menyatakan bahawa syarikat-syarikat tempatan menunjukkan minat yang mendalam kepada peluang perniagaan di Rusia.

"Pada 2020, lebih 30 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam persidangan inovasi korporat berkaitan Rusia dan acara padanan perniagaan yang dianjurkan oleh ESG dan rakan-rakan kongsi kami," menurut agensi itu.

Ekosistem syarikat-syarikat pemula Rusia menyaksikan pertumbuhan stabil dengan keseluruhan nilai pelaburan meningkat dari AS$768 juta (S$1 bilion) pada 2018 kepada AS$868 juta (S$1.1 bilion) pada 2019, menurut ESG.

ESG menyatakan bahawa ia merancang untuk melancarkan "program perkembangan pesat dua hala" dengan kerjasama sebuah rakan kongsi GIA yang dilantik, dengan lebih banyak butiran diumumkan pada tarikh kemudian.

"Program-program ini akan membantu syarikat-syarikat berpangkalan di Singapura dari pelbagai sektor teknologi untuk membina pemahaman yang lebih kukuh tentang peraturan dan budaya perniagaan Rusia, bertemu dengan rakan-rakan kongsi berpotensi dan mengakses pasaran serta bekerjasama dengan syarikat-syarikat asing untuk menubuhkan operasi di Singapura dan menjalin kerjasama baru di Asia Tenggara," menurut ESG.

Meskipun dengan kesan pandemik COVID-19, program perkembangan pesat GIA itu menarik penyertaan lebih 300 peserta sejak 2020, menurut ESG.

Dengan penyertaan Moscow ke dalam GIA, kini terdapat 16 bandar seluruh dunia di dalam rangkaian tersebut. Bandar-bandar GIA yang lain termasuk Bangalore, Jakarta, London, San Francisco, Shanghai dan Tokyo.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita