Khidmat baru eGIRO singkatkan proses dari beberapa minggu ke beberapa minit
Khidmat eGIRO baru di seluruh negara dilancarkan hari ini (8 Nov) untuk mendigitalkan sepenuhnya proses GIRO yang prosesnya sekarang ini berasaskan kertas. Ini sekali gus membolehkan permohonan diproses dalam masa beberapa minit sahaja.
SINGAPURA: Khidmat eGIRO baru di seluruh negara dilancarkan hari ini (8 Nov) untuk mendigitalkan sepenuhnya proses GIRO yang prosesnya sekarang ini berasaskan kertas. Ini sekali gus membolehkan permohonan diproses dalam masa beberapa minit sahaja.
Pertama kali diperkenalkan pada 1984, GIRO adalah mekanisme debit langsung elektronik yang membolehkan individu menetapkan pembayaran bil berulang daripada akaun bank mereka.
Ini termasuk pembayaran bagi cukai pendapatan peribadi, bil telefon bimbit, bayaran musiman tempat letak kereta dan yuran sekolah, antara lainnya.
Buat masa ini, proses permohonan dibuat secara manual dan mengambil masa purata tiga minggu. Ia boleh berlarutan sehingga enam minggu jika penjelasan lanjut diperlukan, kata Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ketika melancarkan inisiatif baru tersebut di Festival Fintech Singapura x Minggu Inovasi dan Teknologi Singapura 2021.
Secara purata, kira-kira satu juta permohonan GIRO dibuat di Singapura setiap tahun.
Persatuan Bank-Bank di Singapura (ABS) menyatakan dalam satu kenyataan media berasingan bahawa perkhidmatan baru eGIRO itu dibangunkan atas “API (antara muka pengaturcaraan aplikasi) dan prasarana berasaskan awan, yang akan membolehkan huraian itu disesuaikan dengan pantas untuk menampung keperluan semua bank dan pertubuhan bil di Singapura”.
Ia menambah bahawa eGIRO akan ditawarkan secara bertahap-tahap oleh lapan bank utama dan 13 pertubuhan bil dalam fasa awalnya.
Bank-bank tersebut adalah DBS, OCBC, UOB, Bank of China, HSBC, Industrial and Commercial Bank of China, Maybank dan Bank Standard Chartered.
Pertubuhan yang mengeluarkan bil terdiri daripada segmen perniagaan yang berbeza, seperti Lembaga Tabung Simpanan Pekerja, Lembaga Pembangunan dan Perumahan, GrabPay, Singtel Dash dan Etiqa Insurance Singapore.
Bank-bank lain yang berminat boleh mendekati ABS untuk menyertai fasa seterusnya, tambah persatuan itu.
Penguasa Kewangan Singapura menyatakan khidmat baharu itu menandakan satu lagi langkah penting bagi Singapura untuk ke arah ekonomi digital yang lebih inklusif.
Ketua pegawai teknologi kewangannya Sopnendu Mohanty berkata: “Ini sejajar dengan visi kami untuk memacu huraian antara operasi dan perkhidmatan digital yang lancar untuk mendampingi lebih ramai orang dan perniagaan, pada kos yang lebih rendah dengan cara lebih mudah."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.