Skip to main content

Kewangan

Keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah dalam 2 tahun: Tinjauan Nielsen

Keyakinan pengguna Singapura merosot ke paras terendah dalam dua tahun pada suku ketiga, sedang para penduduk melahirkan keprihatinan terhadap ekonomi dan jaminan pekerjaan, menurut satu tinjauan oleh syarikat data global Nielsen.

Anggaran Waktu Membaca:
Keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah dalam 2 tahun: Tinjauan Nielsen

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 22 Nov 2019 10:46AM Dikemas Kini : 22 Nov 2019 10:59AM

SINGAPURA: Keyakinan pengguna Singapura merosot ke paras terendah dalam dua tahun pada suku ketiga, sedang para penduduk melahirkan keprihatinan terhadap ekonomi dan jaminan pekerjaan, menurut satu tinjauan oleh syarikat data global Nielsen.

Dapatan itu didedahkan sedang ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China menyebabkan kemerosotan pada eksport dan ekonomi Singapura meskipun data pengambilan pekerja masih agak stabil.

Selain ekonomi dan jaminan pekerjaan, Nielsen menyatakan dalam laporannya pada Khamis (21 Nov) bahawa tiga isu lain yang paling membimbangkan rakyat Singapura pada suku ketiga adalah kesihatan, keseimbangan kerja dengan kehidupan dan harga makanan yang meningkat.

Berikut dapatan utama daripada tinjauan tersebut, yang meninjau 500 orang:

1. Keprihatinan meningkat mengenai prestasi ekonomi

37 peratus responden bimbang tentang ekonomi, naik daripada 32 peratus pada suku kedua.

32 peratus bimbang mengenai jaminan pekerjaan, sama dengan suku sebelumnya.

34 peratus responden menyatakan bahawa mereka optimistik tentang prospek pekerjaan, kemerosotan mendadak daripada 42 peratus pada suku kedua.

Lebih separuh responden (56 peratus) percaya bahawa Singapura sedang mengalami kemelesetan, meningkat daripada 42 peratus pada suku sebelumnya. Perangkaan terkini menunjukkan bahawa ekonomi Singapura tumbuh 0.1 peratus pada suku ketiga, hanya sipi menghindari satu kemelesetan teknikal.

2. Kurang rela berbelanja

37 peratus rela berbelanja untuk membeli barang-barang yang mereka mahu atau perlu, kurang sedikit daripada 38 peratus pada suku kedua.

45 peratus akan berbelanja untuk percutian, turun daripada 46 peratus pada suku kedua.

Semakin kurang orang rela berbelanja untuk alat-alat teknologi baru - 16 peratus pada suku ketiga berkata mereka akan berbuat demikian, berbanding 17 peratus pada suku kedua.

19 peratus responden akan berbelanja untuk pakaian baru, berbanding 22 peratus pada suku sebelumnya.

3. Simpanan wang kekal satu keutamaan

Memandangkan prospek ekonomi yang tidak menentu, 62 peratus menyatakan mereka akan meletakkan wang mereka dalam simpanan.

33 peratus akan melabur dalam dana persaraan, lebih tinggi daripada 29 peratus pada suku sebelumnya.

28 peratus akan melabur dalam saham atau dana bersama, naik sedikit daripada 27 peratus pada suku kedua. 

Sumber : Today/AY/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita