Skip to main content

Kewangan

Keuntungan CDL naik 3.9% bagi separuh pertama 2025

Berikutan pertelingkahan pada Februari antara pengerusi eksekutif City Developments (CDL), Kwek Leng Beng, dan anaknya, Sherman Kwek, kedua-duanya tampil bersatu pada Rabu (13 Ogos) untuk melaporkan peningkatan keuntungan sebanyak 3.9 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Keuntungan CDL naik 3.9% bagi separuh pertama 2025

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan City Developments Sherman Kwek (kiri) dan Pengerusi Eksekutif Kwek Leng Beng (kanan) semasa taklimat keputusan kewangan pada 13 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Wallace Woon)

SINGAPURA: Berikutan pertelingkahan pada Februari antara pengerusi eksekutif City Developments (CDL), Kwek Leng Beng, dan anaknya, Sherman Kwek, kedua-duanya tampil bersatu pada Rabu (13 Ogos) untuk melaporkan peningkatan keuntungan sebanyak 3.9 peratus bagi separuh pertama tahun ini.

Pertelingkahan tersebut menyaksikan Encik Kwek Leng Beng, 84 tahun, menuduh anaknya cuba melakukan “rampasan kuasa” dan memfailkan saman ke atasnya, yang kemudiannya ditarik balik dua minggu kemudian. Anak lelakinya, Encik Sherman Kwek, 49 tahun, yang juga ketua pegawai eksekutif kumpulan CDL, ketika itu menyifatkan tindakan bapanya itu sebagai “melampau”.

Mengakui pertelingkahan terbuka itu sebelum sesi taklimat bagi keputusan kewangan di M Hotel Singapore City Centre, Encik Kwek Leng Beng berkata dalam satu kenyataan: “Separuh pertama 2025 menandakan bab yang penting bagi kumpulan kami apabila kami mengatasi cabaran dalaman dengan ketabahan dan kecekalan.

“Kami telah meninggalkan segala isu lalu, kini tampil lebih kukuh dan bersatu.”

Encik Sherman Kwek berkata: “Meskipun terdapat sedikit ketidakstabilan pada awal tahun akibat isu dalaman, tempoh selepas itu dicirikan dengan pemulihan kestabilan, penyelarasan semula dan pelaksanaan yang berdisiplin.”

Bagi separuh tahun yang berakhir pada 30 Jun, CDL melaporkan pendapatan sebanyak S$1.7 bilion, meningkat daripada S$1.6 bilion setahun lalu.

Keuntungan bersih selepas cukai dan faedah bukan kawalan syarikat adalah S$91.2 juta, berbanding S$87.8 juta dalam enam bulan pertama 2024.

CDL menyatakan bahawa prestasinya terjejas akibat kerugian pertukaran mata wang asing berjumlah S$63.1 juta, berbanding keuntungan pertukaran mata wang asing sebanyak S$51.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jika kesan pertukaran mata wang ini diketepikan, keuntungan bersih kumpulan (selepas cukai dan faedah bukan kawalan) akan melonjak 322.7 peratus kepada S$154.3 juta,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan media.

Ia turut menambah bahawa penyusutan nilai dolar Amerika Syarikat juga memberi kesan besar kepada kumpulan itu, terutamanya kerana pinjaman antara syarikat yang didenominasikan dalam dolar Amerika Syarikat digunakan untuk membiayai pemerolehan hotel negara tersebut sebelum ini dan bagi memenuhi keperluan modal kerja.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita