Ketua IMF unjur ekonomi dunia dapat elak kemelesetan meski pertumbuhan terjejas akibat tarif
Ekonomi global berkemungkinan besar dapat mengelak daripada kemelesetan meskipun pertumbuhan terjejas akibat pelaksanaan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, menurut Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Khamis (17 Apr).

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva di ibu pejabat IMF di Washington, D.C., Amerika Syarikat, pada 17 April 2025. (Gambar: REUTERS/Leah Millis)
Pelan tarif Amerika Syarikat yang kerap berubah-ubah mencetus tahap ketidaktentuan pasaran yang tidak pernah dilihat sejak pandemik COVID-19 melanda, dan kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan pengenaan tarif import baharu tersebut akan menyekat pertumbuhan serta meningkatkan inflasi, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.
Gangguan perdagangan “menimbulkan kos,” kata Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva kepada wartawan di Washington pada Khamis, sambil menambah bahawa pihak Tabung itu kini menjangkakan pengurangan pertumbuhan yang “ketara”, namun ia tidak menjangkakan kemelesetan.
Orang ramai kini hidup dalam dunia yang penuh dengan “perubahan mengejut dan menyeluruh,” katanya, merujuk kepada ketidaktentuan pasaran baru-baru ini.
“Ia adalah seruan untuk bertindak dengan bijak,” tambahnya.
Ucapan beliau disampaikan menjelang Mesyuarat Musim Bunga minggu depan – perhimpunan para pemimpin kewangan global yang dianjurkan bersama oleh IMF dan Bank Dunia di ibu negara Amerika Syarikat.
Kenyataan beliau mencadangkan bahawa IMF akan menggunakan Laporan Ekonomi Dunia yang bakal diterbitkan pada Selasa untuk menyemak semula ramalan pertumbuhan globalnya, yang sebelum ini dijangka mencecah 3.3 peratus pada 2025 dan 2026.
"PERSEPSI ADALAH PENTING"
Cik Georgieva berkata ketegangan tarif yang sedang berlaku berkemungkinan akan membawa tiga kesan utama terhadap ekonomi global, dengan negara maju yang lebih kecil dan kebanyakan pasaran yang sedang pesat membangun dijangka lebih terkesan disebabkan kebergantungan mereka kepada perdagangan bagi pertumbuhan.
“Pertama, ketidaktentuan membawa kos,” katanya, sambil menambah bahawa ia adalah sukar bagi perusahaan untuk merancang jika mereka tidak mengetahui jumlah kos yang diperlukan pada masa akan datang.
“Kedua, peningkatan halangan perdagangan menjejas pertumbuhan secara langsung,” katanya, sambil menjelaskan bahawa “tarif, seperti semua bentuk cukai, menambah hasil tetapi mengurangkan serta mengalihkan aktiviti.”
“Pemerhatian ketiga: dasar melindungi kepentingan sendiri merosakkan daya penghasilan dalam jangka panjang, terutamanya di negara yang lebih kecil,” katanya.
Cik Georgieva menggesa semua negara agar “mengatur semula tadbir urus masing-masing” antaranya dengan menyesuaikan dasar fiskal secara berperingkat untuk mengurangkan tahap hutang jika perlu, serta mengekalkan dasar kewangan yang “tangkas dan teguh” dengan “komitmen kukuh” terhadap kebebasan bank pusat.
“Persepsi sama penting dengan realiti,” katanya, sambil menggesa pemimpin dunia untuk memperbaiki persepsi rakyat terhadap ekonomi di tengah-tengah kemerosotan dari segi keyakinan pengguna – khususnya di Amerika Syarikat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.