Skip to main content

Kewangan

Kerjasama Grab-BYD 'pemacu' kenderaan EV di Asia Tenggara

Grab mengumumkan rancangan untuk mengembangkan jumlah kenderaan elektrik (EV) milik syarikat itu dengan 50,000 kenderaan BYD di seluruh Asia Tenggara, menandakan hasratnya untuk menerajui peralihan rantau ini kepada pengangkutan yang lebih mesra alam.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerjasama Grab-BYD 'pemacu' kenderaan EV di Asia Tenggara

(Gambar: Grab)

Diterbitkan : 21 Jan 2025 10:10AM Dikemas Kini : 21 Jan 2025 10:11AM
SINGAPURA: Grab mengumumkan rancangan untuk mengembangkan jumlah kenderaan elektrik (EV) milik syarikat itu dengan 50,000 kenderaan BYD di seluruh Asia Tenggara, menandakan hasratnya untuk menerajui peralihan rantau ini kepada pengangkutan yang lebih mesra alam.

“Melalui kerjasama ini, Grab dan BYD sedang meningkatkan usaha untuk beralih ke kenderaan elektrik dalam sektor pengangkutan di Asia Tenggara,” kata firma yang berpangkalan di Singapura itu pada Rabu (15 Jan).

Sungguhpun demikian, rantau ini masih berdepan dengan cabaran. Negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam ketinggalan di belakang Singapura dan Malaysia dalam pembangunan infrastruktur EV mereka, kata seorang penganalisis pengangkutan.

Penganalisis lain juga mempersoalkan sama ada infrastruktur pengecasan Singapura disediakan secukupnya untuk penggunaan meluas EV oleh platform pengangkutan.

Menurut Grab, kerjasama dengan pengeluar kenderaan EV dari China itu akan memberikan pemandunya akses kepada kenderaan BYD pada kadar yang berdaya saing dan jaminan bateri yang dilanjutkan.

Grab, yang beroperasi di Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak memberikan butiran tentang bagaimana 50,000 EV itu akan diagihkan dalam kalangan lapan negara di Asia Tenggara.

Profesor Madya Raymond Ong, seorang penganalisis pengangkutan dari Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata dorongan EV Singapura mungkin akan menjadikannya keutamaan yang lebih rendah untuk peruntukan kenderaan berbanding pasaran yang lebih besar.

"Jika saya melihat kepada saiz pasaran semata-mata, saya tidak fikir Singapura akan menjadi majoriti yang ketara (di mana 50,000 kereta akan diperuntukkan), kerana pasaran di Malaysia dan Indonesia agak besar untuk Grab," katanya.

"Grab akan mengedarkan (50,000 EV) ke seluruh pasaran Asia Tenggara, terutamanya untuk pasaran yang sedang berkembang, kerana akan ada lebih banyak dorongan untuk membeli EV di sana."

Pengarah Urusan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Grab Chuck Kim menarik perhatian kepada potensi kerjasama itu untuk mengatasi halangan kewangan terhadap pemilikan EV.

Ini akan dilakukan dengan mengurangkan "halangan kewangan" yang sering dikaitkan dengan EV, dan dalam jangka panjang, ini mungkin termasuk penjimatan kos bahan api, katanya lagi.

CABARAN SERANTAU TERHADAP PENGANGKUTAN EV

Peralihan kepada EV menghadapi halangan, terutamanya di luar Singapura dan Malaysia, di mana infrastruktur untuk mengecas masih terhad.

“Bagi Singapura, (infrastruktur EV) adalah yang paling kurang membimbangkan, kerana infrastrukturnya sedang membangun, dan lebih kurang menepati sasaran dari segi tempat pengecasan untuk kegunaan penumpang, (dan) Malaysia juga melabur agak banyak untuk infrastruktur EV,” kata Prof Madya Ong, yang juga bertugas di Jabatan Kejuruteraan Awam dan Sekitaran NUS.

Bandar seperti Jakarta baharu sahaja mula membina infrastruktur EV mereka. "Jadi dari segi sama ada ia akan mencapai tahap kematangan berbanding Malaysia atau Singapura, kita perlu melihat dengan lebih dekat bagaimana bandar itu membangunkan infrastruktur EV mereka," tambahnya.

Grab sedia maklum tentang cabaran-cabaran ini, sambil menyatakan bahawa Asia Tenggara "masih di peringkat awal perjalanan EV".

“Walaupun terdapat kemajuan yang menggalakkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membangunkan ekosistem EV yang teguh di rantau ini memerlukan usaha menangani beberapa cabaran, seperti ketersediaan model EV yang dimampui, keperluan untuk infrastruktur pengecasan yang lebih meluas, dan pengembangan stesen pengecasan dan pertukaran bateri,” kata jurucakapnya.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita