Kerjasama global kunci hadapi ketidaktentuan tarif filem Trump, kata pembuat filem SG
Pengumuman Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, baru-baru ini mengenai hasratnya untuk mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas filem yang diterbitkan di luar negara menimbulkan ketidaktentuan dalam industri perfileman global.
Set penggambaran filem di Singapura. (Gambar: Mediacorp)
Meskipun Rumah Putih masih belum jelas tentang bagaimana pelaksanaan tarif tersebut akan dijalankan, pembuat dan penerbit filem dari Singapura kini giat memperkukuh kerjasama rentas sempadan.
Mereka berkata, kerjasama global adalah penting, sama ada dari segi penerbitan mahupun pengedaran, dan merupakan kunci untuk mengekalkan pertumbuhan dalam landskap perfileman antarabangsa.
Salah seorang daripada pemain industri yang mengambil pendekatan sedemikian ialah Cik Tan Si En, penerbit bersama filem A Useful Ghost — sebuah filem komedi romantik seram yang diterbitkan dengan kerjasama antara Singapura, Thailand dan Perancis.
Tayangan perdana dunia bagi filem tersebut dijadualkan pada Jumaat (16 Mei) di festival filem paling terkemuka di dunia di Cannes.
Cik Tan memberitahu Mediacorp bahawa walaupun masih terlalu awal untuk menilai kesan tarif tersebut, ia akan "menjadikan pasaran jauh lebih mencabar daripada sedia ada".
“Saya bayangkan ia akan menjadi rumit — di satu pihak, mungkin tarif ini akan menggalakkan lebih banyak penerbitan dalam Amerika Syarikat, tetapi di pihak lain pula, ia mungkin menjadikan Asia tempat yang lebih menarik untuk menjalankan penerbitan, untuk menghasilkan kisah-kisah dari rantau kita,” katanya.
“Sebagai penerbit, saya berharap tarif ini mendorong kita untuk menilai semula strategi global kita. Mungkin ia akan membantu kita memberikan lebih penekanan kepada platform pemasaran seperti festival filem atau pasaran filem seperti Festival Filem Cannes.”
Apabila Cik Tan berkunjung ke bandar Perancis tersebut minggu ini, beliau menjangkakan para pemain industri akan berganding bahu untuk menentukan langkah-langkah seterusnya. Ini termasuk bagaimana filem boleh dipasarkan ke pelbagai negara dan khalayak ramai.
“Saya berharap menerusi pelbagai bentuk kerjasama, mungkin di luar Amerika Syarikat, orang ramai akan berfikir dengan lebih kreatif,” tambahnya.
“Ia mungkin satu peluang … untuk filem kita sampai ke platform yang berbeza, atau untuk platform-platform meneroka wilayah-wilayah yang sebelum ini mereka abaikan di luar Amerika Syarikat.”
INSENTIF CUKAI
Para penganalisis menyatakan bahawa beberapa negara menawarkan insentif cukai untuk filem yang dibuat di negara mereka, namun tidak jelas sama ada tarif yang dicadangkan Amerika akan turut dikenakan ke atas filem yang memanfaatkan pemotongan cukai sedemikian.
Sebagai contoh, industri perfileman di Australia dan New Zealand mempunyai “hubungan yang kukuh” dengan Hollywood menerusi insentif cukai, serta penyediaan lokasi penggambaran dan perkhidmatan pasca-produksi, kata Dr Soh Kai Ruo, pensyarah di Jabatan Komunikasi dan Media Baharu di Universiti Nasional Singapura.
Ketika mengumumkan hasrat untuk mengenakan tarif ke atas filem, Encik Trump berkata industri filem Amerika kini sedang “melemah dengan sangat cepat” akibat insentif yang ditawarkan negara-negara lain untuk menarik perhatian pembuat filem.
Dr Soh menegaskan bahawa untuk memahami kesan tarif tersebut, seseorang itu perlu memahami cara filem Hollywood diterbitkan.
Ramai yang tidak sedar bahawa banyak filem diterbitkan bersama atau dengan kerjasama pihak dari negara lain, katanya.
“Filem tidak dibuat di satu negara tertentu atau oleh satu syarikat produksi sahaja. Oleh itu, saya tidak pasti sama ada ini bermaksud sesebuah filem mesti 100 peratus difilemkan dan diterbitkan di Amerika Syarikat, atau adakah ia berdasarkan elemen kewangan tertentu? Sebab kalau kita lihat bagaimana sesebuah filem dibiayai, ia bukan semestinya datang daripada pihak Amerika,” tambah Dr Soh.
“Perkara ini sangat tidak jelas, (jadi) kita perlu tunggu dan lihat.”
FILEM DI PLATFORM PENSTRIMAN
Satu lagi aspek yang rumit, menurut Dr Soh, ialah filem-filem yang distrim di platform 'over-the-top' seperti Netflix dan Disney+.
Walaupun sebahagian besar daripada kandungan mereka diterbitkan di Amerika Syarikat, mereka juga mempunyai penerbitan dari luar negara. Jika tarif 100 peratus dikenakan ke atas filem yang diterbitkan di luar Amerika Syarikat, ini bermakna platform-platform tersebut mungkin perlu menanggung kos lebih tinggi bagi membawa masuk filem sedemikian, tambahnya.
Keadaan itu boleh menyebabkan penonton di Amerika kurang terdedah kepada kandungan dari luar negara, seperti filem Singapura, sekiranya platform-platform itu berhenti menayangkannya.
“Ini merupakan senario paling buruk. Namun begitu, kita juga masih tidak pasti mengenai butiran tarif ini, bagaimana ia akan dilaksanakan, dan sejauh mana kesannya terhadap pengedaran filem,” kata Dr Soh.
Sebuah syarikat yang menjalankan penerbitan maya memaklumkan bahawa sebahagian besar pesanan mereka kini datang daripada rancangan bagi platform penstriman seperti Netflix dan Amazon.
Pengasas X3D Studio, Karen Seah, berkata sebarang gangguan akibat tarif tersebut akan memaksa syarikatnya untuk mengalihkan tumpuan ke dalam negara dan ke arah peluang serantau.
“Perkhidmatan filem kami, termasuk keupayaan penerbitan maya, akan memberi keutamaan kepada penerbitan secara bersama tempatan dan dari Asia bagi mengimbangi kehilangan projek-projek dari Amerika Syarikat yang telah dirancang,” tambahnya.
“Kami agak optimis terhadap perubahan arah ini, dan kami sedar bahawa pasaran domestik Singapura yang kecil memerlukan sokongan yang kukuh dari pemerintah, jadi kami berharap pihak pemerintah akan memperkenalkan pelan yang proaktif untuk mempertingkatkan penerbitan, geran atau insentif buat kami.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.