Skip to main content

Kewangan

Kerajaan M'sia teliti langkah pertingkat hasil cukai, tangani ketirisan Belanjawan 2022

Kerajaan Malaysia sedang meneliti langkah-langkah bagi menambahkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

Anggaran Waktu Membaca:
Kerajaan M'sia teliti langkah pertingkat hasil cukai, tangani ketirisan Belanjawan 2022

(Gambar: Mohd Rasfan/AFP)

Diterbitkan : 31 Aug 2021 09:05PM Dikemas Kini : 31 Aug 2021 09:07PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia sedang meneliti langkah-langkah bagi menambahkan hasil cukai melalui peningkatan pematuhan cukai selain menangani ketirisan hasil.

Menurut Kenyataan Pra-Belanjawan 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) pada Selasa, antara cadangan dalam penelitian termasuk pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (SVDP) bagi cukai tidak langsung yang ditadbir oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Melalui program ini, pembayar cukai digalakkan untuk tampil secara sukarela bagi mengikrarkan apa saja cukai yang tidak dilaporkan, terkurang atau tersilap dilaporkan kepada JKDM.

Langkah lain adalah dengan memperkenalkan Sijil Pematuhan Cukai sebagai satu prasyarat baru yang perlu dipatuhi oleh pembida tender semasa mengambil bahagian dalam pemerolehan kerajaan selain mengkaji semula layanan cukai yang dikenal pasti mempunyai elemen ketirisan hasil atau amalan yang menjejaskan serta melaksanakan nombor pengenalan cukai (TIN).

“Kerajaan sedar bahawa persekitaran pelaburan yang kondusif sama ada bagi pelaburan langsung asing atau pelaburan langsung domestik merangkumi banyak aspek, termasuk kestabilan ekonomi dan politik, dasar yang konsisten dan telus, pasaran buruh yang efisien, tahap kemudahan infrastruktur, tadbir urus yang mantap, rangka perundangan yang kukuh dan kualiti hidup yang selesa di Malaysia.

“Insentif fiskal termasuk cukai merupakan antara faktor penarik pelaburan berkenaan, namun ia boleh memainkan peranan penting sebagai alat dasar yang strategik,” menurut MoF.

Mengenai pengurusan ketirisan hasil, kerajaan komited dalam menangani isu ketirisan hasil, terutama yang melibatkan aktiviti penyeludupan barangan berduti tinggi yang dianggarkan bernilai RM5 bilion (S$1.62 bilion).

Pasukan Kerja Pelbagai Agensi yang dipengerusikan oleh MoF sebagai sebuah platform bagi merangka strategi membendung aktiviti penyeludupan telah diperkasakan melalui penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Kerajaan juga telah melaksanakan langkah memperketat kawalan ke atas pelesenan dan pengimportan rokok dan produk tembakau dengan membekukan pengeluaran lesen import rokok baru, memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui pengenaan kuota import, menghadkan aktiviti pemindahan rokok ke kapal di pelabuhan tertentu sahaja, di samping menjadikan rokok dan produk tembakau sebagai barangan berduti di semua pulau bebas cukai.

Menurut MoF, selain itu, kerajaan turut memperkemas definisi syarikat berkaitan bagi tujuan tuntutan bantuan kumpulan, mengenakan denda ke atas kegagalan menyediakan dokumen Pindahan Harga dan menetapkan keperluan pembayar cukai bagi menjelaskan cukai sebelum memulakan apa-apa prosiding terhadap kerajaan/ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Sumber : Bernama/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita