Skip to main content

Kewangan

Kembali ke pejabat atau berisiko dipecat, amaran Starbucks kepada pekerjanya

Anggaran Waktu Membaca:
Kembali ke pejabat atau berisiko dipecat, amaran Starbucks kepada pekerjanya

(Gambar fail: Grégoire CAMPIONE / AFP)

Diterbitkan : 29 Oct 2024 08:35PM Dikemas Kini : 29 Oct 2024 08:36PM
SEATTLE: Starbucks memaklumkan para kakitangan korporatnya bahawa mereka boleh dipecat jika enggan bekerja di pejabat tiga hari seminggu, lapor Bloomberg.

Bermula Januari tahun depan, rantaian kedai kopi itu akan melaksanakan "proses standard" untuk memastikan pekerjanya mematuhi dasar kembali ke pejabat, menurut memo syarikat tersebut yang dilihat oleh Bloomberg News.

Menurut kandungan emel itu, ia "sehingga, dan termasuk, pemecatan".

Pengumuman itu menandakan satu peningkatan pada usaha Starbucks untuk menguatkuasakan mandat bekerja di pejabat.

Starbucks mengumumkan tahun lalu bahawa pekerja korporat mesti bekerja di pejabat tiga hari seminggu. Para pekerja yang tinggal tidak jauh dari ibu pejabat syarikat tersebut dikehendaki bekerja di pejabat pada Selasa, Rabu dan hari lain yang perlu dipersetujui dengan pengurus mereka, menurut laporan CNN.

"Kami terus menyokong para pemimpin kami sedang mereka memastikan pasukan mereka bertanggungjawab terhadap dasar kerja hibrid sedia ada," menurut Starbucks dalam satu kenyataan media pada Isnin (28 Okt).

Dasar tiga hari itu menjejas kira-kira 3,500 pekerja korporat. Sebahagian besar pekerjanya bertugas di cawangan-cawangan Starbucks.

Memo syarikat itu dikeluarkan dua bulan selepas Brian Niccol mengambil alih sebagai CEO baharu Starbucks.

Aturan kerja Encik Niccol sendiri mengundang pelbagai reaksi, dengan syarikat itu memberinya jet korporat untuk berulang-alik antara rumahnya di California dan pejabat rangkaian kopi tersebut di Seattle yang terletak lebih 1,600km jauhnya.

Menurut CNN, aturan kerja itu didedahkan dalam surat pelantikannya, yang menyatakan bahawa Encik Niccol akan disediakan dengan sebuah "pejabat kecil" di rumahnya di California dan tidak perlu berpindah secara tempat lain.

Bloomberg melaporkan bahawa sesetengah pekerja tidak peduli di mana CEO mereka berpangkalan, selagi beliau tidak bertindak tegas terhadap aturan bekerja di pejabat.

Starbucks adalah syarikat terkini yang mengarahkan para pekerjanya kembali ke pejabat selepas pandemik COVID-19.

Bulan lalu, gergasi teknologi Amazon mewajibkan dasar lima hari bekerja di pejabat dalam seminggu, mulai tahun depan.

Baru minggu lalu, firma pengangkutan yang berpangkalan di Singapura, Grab memberitahu para kakitangannya bahawa ia akan mewajibkan pekerjanya bekerja lima hari seminggu di pejabat mulai Disember.

Starbucks minggu lalu melaporkan penjualan yang lebih lemah daripada yang diramalkan bagi suku keempatnya.

Syarikat itu menyatakan bahawa ia akan menggantung panduan kewangan bagi Tahun Kewangan 2025 untuk memberi masa kepada CEO baharunya menilai perniagaan.

Pendapatan Starbucks merosot 3 peratus kepada AS$9.1 bilion bagi tempoh antara Julai hingga September, yang lebih rendah daripada yang diramalkan oleh Wall Street iaitu AS$9.4 bilion, menurut penganalisis yang ditinjau oleh FactSet.

Starbucks turut mendedahkan bahawa pendapatannya yang sudah disesuaikan merosot 24.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu kepada 80 sen bagi setiap saham. Ia juga kurang daripada ramalan penganalisis yang mengunjurkan AS$1.03 bagi setiap saham.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita