Keluaran pengilangan SG mengecut pada Ogos, penurunan pertama sejak Jun 2024
Keluaran pengilangan Singapura susut 7.8 peratus dari tahun ke tahun bagi bulan Ogos.
Ahli biokimia memeriksa bioreaktor yang digunakan untuk menghasilkan produk perubatan di sebuah kemudahan di Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)
Tidak termasuk pengilangan beioperubatan, keluaran pada Ogos menurun 2.9 peratus, menurut data rasmi Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) yang dikeluarkan pada Jumaat (26 Sep).
Berdasarkan purata pergerakan tiga bulan, keluaran pengilangan meningkat 2.1 peratus pada Ogos berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Berdasarkan pelarasan mengikut musim bulan ke bulan, keluaran pengilangan menurun 9.7 peratus, manakala keluaran tidak termasuk pengilangan bioperubatan menurun 3.5 peratus.
KUMPULAN INDUSTRI
Keluaran pengilangan bioperubatan merosot 37.3 peratus pada Ogos, dipacu oleh penyusutan 59.3 peratus dalam bidang farmaseutikal. Segmen itu mengecil "dari asas yang tinggi tahun lalu disebabkan campuran bahan farmaseutikal yang berbeza yang dihasilkan,” menurut EDB.
Segmen teknologi perubatan meningkat 5.3 peratus berikutan permintaan eksport yang berterusan bagi peranti perubatan.
Secara keseluruhan, keluaran kumpulan pengilangan bioperubatan merosot 3.4 peratus tahun ke tahun bagi tempoh Januari hingga Ogos.
Sektor kejuruteraan pengangkutan mencatatkan pertumbuhan keluaran paling besar, dengan peningkatan 18.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos.
Segmen aeroangkasa dan kejuruteraan marin serta luar pesisir masing-masing meningkat 36 peratus dan 1.7 peratus, dengan segmen aeroangkasa mencatatkan pengeluaran lebih tinggi bagi alat ganti pesawat serta kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih yang berterusan daripada syarikat-syarikat penerbangan komersial. Segmen darat menurun 24.5 peratus.
Secara tahun ke tarikh, kumpulan kejuruteraan pengangkutan meningkat 17.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut EDB.
Peningkatan terbesar seterusnya adalah bagi bahan kimia, di mana keluaran meningkat 3.5 peratus pada Ogos berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Segmen petroleum meningkat 12.4 peratus daripada paras rendah tahun lalu akibat penutupan loji bagi kerja-kerja penyelenggaraan, manakala segmen bahan kimia lain mencatatkan peningkatan 10.9 peratus disokong oleh pengeluaran lebih tinggi bagi wangian.
“Segmen bahan kimia khusus meningkat 7.2 peratus, didorong oleh pengeluaran lebih tinggi biofuel serta bahan kimia elektronik, bahan-bahan dan laminat.
“Sebaliknya, segmen petrokimia menurun 18 peratus disebabkan penutupan loji bagi tujuan penyelenggaraan,” menurut EDB.
Secara keseluruhan, keluaran kumpulan bahan kimia susut 0.4 peratus dari tahun ke tahun bagi tempoh Januari hingga Ogos.
Keluaran pengilangan kejuruteraan tepat turun 1.7 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos.
Segmen modul dan komponen tepat meningkat 2.1 peratus, disokong oleh pengeluaran lebih tinggi bagi penyambung elektronik, kabel kuasa elektrik dan wayar.
Namun pengeluaran lebih rendah bagi peralatan semikonduktor bahagian hadapan menyumbang kepada penurunan 3.2 peratus dalam segmen jentera dan sistem.
Secara keseluruhan, kumpulan kejuruteraan tepat meningkat 3.9 peratus dalam lapan bulan pertama 2025 berbanding tempoh yang sama pada 2024.
Keluaran pengilangan elektronik menurun 4.8 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, sementara segmen infokom dan elektronik pengguna berkembang 42.4 peratus dengan hasil pengeluaran lebih tinggi bagi produk berkaitan server.
Segmen-segmen lain – semikonduktor, modul dan komponen elektronik lain serta periferal komputer dan penyimpanan data – masing-masing merosot 8.8 peratus, 13.1 peratus dan 16.8 peratus.
Secara tahun ke tarikh, kumpulan elektronik meningkat 7.1 peratus, menurut EDB.
Bagi pengilangan umum, keluaran mengecil 13.9 peratus dari tahun ke tahun pada Ogos, dengan beberapa segmen mencatatkan penurunan.
Segmen percetakan dan industri pelbagai menurun 0.4 peratus dan 12.7 peratus masing-masing, dengan yang terakhir mencatatkan pengeluaran lebih rendah bagi produk struktur logam, bateri serta bekas dan kotak yang diperbuat daripada kertas dan papan kertas.
Keluaran pengilangan makanan, minuman dan tembakau jatuh 15.9 peratus, didorong oleh pengeluaran lebih rendah minuman, produk tenusu dan bakeri.
Secara keseluruhan, kumpulan pembuatan umum susut 9.3 peratus dalam lapan bulan pertama 2025 berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut EDB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.