Kegiatan pengilangan S'pura tumbuh sedikit buat bulan kedua berturut-turut pada Ogos
Kegiatan pengilangan Singapura terus berkembang untuk bulan kedua berturut-turut, setelah lima bulan mencatat penguncupan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
(Gambar: AFP)
SINGAPURA: Kegiatan pengilangan Singapura terus berkembang untuk bulan kedua berturut-turut, setelah lima bulan mencatat penguncupan di tengah-tengah pandemik COVID-19.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi bulan Ogos berada pada paras 50.1, susut 0.1 mata berbanding bulan sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada Khamis (3 Sep).
Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan bahawa ekonomi pengilangan pada umumnya berkembang, sementara bacaan kurang 50 menunjukkan ia secara amnya menguncup.
Bacaan PMI terbaru didorong peningkatan dalam indeks tempahan baru dan kadar pengembangan yang lebih pantas dalam pengeluaran kilang, dan kadar pengembangan lebih perlahan dalam indeks eksport dan inventori baru.
"Indeks barang siap, import, dan harga input, kembali pada bacaan pengembangan, dan indeks tunggakan tempahan terus berkembang untuk bulan kedua," menurut SIPMM.
Bagaimanapun, indeks pekerjaan mencatat penguncupan pada kadar yang lebih pantas, manakala indeks penghantaran pembekal mencatat kemerosotan pada kadar yang lebih perlahan.
Indeks pekerjaan keseluruhan bagi sektor pengilangan kini mencatat penguncupan tujuh bulan berturut-turut.
PMI sektor elektronik meningkat 1.4 mata berbanding bulan sebelumnya dan mencatat pertumbuhan pada 50.6, menyusuli penguncupan enam bulan berturut-turut.
Bacaan bulan Ogos juga merupakan yang tertinggi dicatat sejak September 2018, ketika bacaannya adalah 51.4.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.