Skip to main content

Kewangan

Kegiatan pengilangan S'pura tumbuh pada September buat bulan ketiga berturut-turut

Kegiatan pengilangan Singapura tumbuh buat tiga bulan berturut-turut, selepas  menguncup selama lima bulan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Kegiatan pengilangan S'pura tumbuh pada September buat bulan ketiga berturut-turut

Para pekerja di sebuah kilang di Singapura. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 02 Oct 2020 10:12PM Dikemas Kini : 02 Oct 2020 10:15PM

SINGAPURA: Kegiatan pengilangan Singapura tumbuh buat tiga bulan berturut-turut, selepas menguncup selama lima bulan di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi September mencatat "pertumbuhan lebih pantas" pada bacaan 50.3, naik 0.2 mata berbanding bulan sebelumnya, menurut data yang dikeluarkan oleh Institut Pembelian dan Pengurusan Bahan Singapura (SIPMM) pada Jumaat (2 Okt).

Bacaan PMI melebihi 50 menunjukkan bahawa ekonomi pengilangan pada umumnya berkembang, sementara bacaan di bawah 50 menunjukkan bahawa ia secara amnya menurun.

Bacaan terbaru PMI itu disebabkan oleh peningkatan kali pertama dalam indeks pesanan baru, dan kadar pertumbuhan lebih pesat bagi indeks eksport baru dan hasil pengilangan, kata SIPMM.

Indeks inventori, bagaimanapun, mencatat kadar pertumbuhan lebih perlahan.

Walaupun terdapat peningkatan dalam bacaan pekerjaan, keseluruhan indeks pekerjaan mencatat penguncupan buat lapan bulan berturut-turut.

Begitu juga, indeks penghantaran pembekal juga mengalami penurunan selama lapan bulan berturut-turut.

Indeks barangan siap, harga dan tunggakan pesanan mencatat kadar pertumbuhan lebih pantas, manakala indeks import mencatat kadar lebih perlahan, menurut SIPMM.

SEKTOR ELEKTRONIK CATAT PMI TERTINGGI SEJAK SEP 2018

PMI sektor elektronik meningkat 0.3 mata dari Ogos untuk mencatat pertumbuhan pada 50.9, bacaan tertinggi yang dicatatkan sejak September 2018 yang menyaksikan bacaan 51.4.

Bacaan terbaru itu disebabkan kadar pertumbuhan lebih pantas bagi indeks tempahan baru, eksport baru dan hasil pengilangan, menurut SIPMM.

Indeks inventori elektronik mencatat kadar pertumbuhan lebih perlahan, manakala indeks pengambilan pekerja mencatat penguncupan lebih perlahan.

Indeks barangan siap dan penghantaran pembekal mencatat penguncupan yang lebih perlahan, sementara indeks harga dan tunggakan pesanan mencatat peningkatan lebih perlahan, tambah SIPMM.

PMI terbaru menunjukkan "bacaan lebih optimis", kata naib presiden pelibatan dan pembangunan industri SIPMM Sophia Poh, sambil menambah bahawa ia petanda "baik" bagi sektor pengilangan.

"Walaupun bacaan pekerjaan terus lemah, pengilang kini lebih yakin dan menanti-nantikan fasa pembukaan seterusnya untuk semua perniagaan," katanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita