Kedai pajak gadai berlandaskan syariah Islam dibuka di Joo Chiat Complex
Kini ada kedai pajak gadai berlandaskan syariah di Joo Chiat Complex. Tidak seperti kedai-kedai pajak gadai lain, semua urus niaganya akan berkonsepkan hukum-hukum Islam.
SINGAPURA: Kini ada kedai pajak gadai berlandaskan syariah di Joo Chiat Complex. Tidak seperti kedai-kedai pajak gadai lain, semua urus niaganya akan berkonsepkan hukum-hukum Islam.
Kedai tersebut - ValueMax Ar-Rahnu - akan dilancarkan secara rasmi pada Sabtu ini (22 Ogos) di tingkat satu Joo Chiat Complex.
BERITAmediacorp dimaklumkan bahawa pelaburan untuk membuka kedai pajak gadai Islam itu melebihi S$3 juta.
Di Singapura, sebarang kedai pajak gadai yang ingin dibuka harus mempunyai modal terkumpul berjumlah tidak kurang S$2 juta dari semua pemegang sahamnya. Jumlah itu belum lagi termasuk kos lain seperti sekuriti S$100,000, yuran lesen S$3,000 setahun, kos sewa unit, ubah elok kedai, pengambilan empat pekerja dan sebagainya.

Bagi khidmat Ar-Rahnu di Joo Chiat Complex itu, pemegang saham terbesarnya ialah ValueMax - syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Singapura (SGX) dan kini mempunyai 35 cawangan kedai pajak gadai di merata Singapura. Ini merupakan satu-satunya cawangan ValueMax yang mengamalkan konsep ar-rahnu.
BERITAmediacorp difahamkan para pelabur lain dalam Ar-Rahnu adalah "beberapa" pelabur Muslim dalam Ar-Rahnu Singapore Pte Ltd.
Penasihat Shariah Ar-Rahnu pula ialah Ustaz Mohd Kamal Mokhtar, yang berpengalaman dalam bidang kewangan Islam. Beliau juga seorang anggota Jawatankuasa Shariah Maybank dan anggota lembaga Warees.

Penasihat Shariah, Ustaz Mohd Kamal Mokhtar. (Gambar: Facebook)
Yang pasti, pembukaan Ar-Rahnu, kata Ustaz Kamal, adalah satu permulaan penting dan beliau berharap industri kewangan Islam akan terus mekar di Singapura.
BAGAIMANA PAJAK GADAI AR-RAHNU BERFUNGSI?
Kedai pajak gadai konvensional lazimnya bergantung kepada riba (interest) sebagai sebahagian ciri perniagaan untuk bertahan. Kadar bunga yang ditetapkan adalah antara 1 peratus hingga 1.5 peratus di Singapura. Bunga tersebut juga boleh berubah-ubah dan naik mengikut amalan konvensional.
Namun, riba dalam Islam, hukumnya haram. Maka itulah, ada kelainan pada konsep perniagaan pajak gadai Islam yang lebih menekankan konsep pinjaman beretika.
Ustaz Kamal menjelaskan, pajak gadai Islam berpegang kepada konsep rahn - iaitu perjanjian menahan suatu barang sebagai tanggungan hutang.
"Bagi konsep rahn ini, kita tidak mengenakan caj kepada duit yang dipinjamkan. Tiada bayaran interest atau riba," terang beliau lagi.
Bagaimanapun, bayaran dikenakan atas khidmat menjaga dan menyimpan barang yang dicagarkan. Semua ini selaras dengan konsep kewangan Islam yang mana riba tidak dibenarkan tetapi bayaran boleh dikenakan bagi khidmat yang disediakan.

"Jadi kerana kedai pajak gadai menyimpan barang yang dicagarkan, ia perlu disimpan dalam tempat khas, perlu ada insurans, dikunci dengan selamat. Keperluan untuk menyimpan barang-barang itu semua libatkan kos dan boleh kita kenakan bayaran," tambah Ustaz Kamal.
CAJ SIMPAN BARANG & KADAR BUNGA - MANA MURAH?
Mengulas lebih lanjut, Ustaz Kamal berkata kos yang perlu dibayar kepada Ar-Rahnu sememangnya tidak banyak perbezaan dengan kos yang ditanggung jika barang dipajak di pajak gadai konvensional.
"Yuran simpan barangan dicagarkan (di Ar-Rahnu) hampir sama dengan kadar bunga di kedai pajak gadai lain, berjumlah antara 1 hingga 1.5 peratus," kata beliau.
Hanya perjanjiannya yang berbeza, jelas Ustaz Kamal lagi:
"Ibarat ayam yang tidak disembelih dan disembelih. Satu tak boleh makan, satu boleh makan. Tetapi tetap ayam. Cuma satunya tidak halal, satunya halal.
"Jadi begitu juga perbezaan antara Ar-Rahnu dengan pajak gadai biasa. Bezanya pada akad dan perjanjian."
PULANGAN HANYA DIJANGKA SELEPAS 2 TAHUN
Ternyata membuka sebuah kedai pajak gadai Islam bukanlah mudah. Ada begitu banyak yang perlu dikaji dan dipenuhi, seperti syarat dan undang-undang di bawah Akta Pajak Gadai. Modalnya juga sangat besar.
Oleh itu kerjasama dengan ValueMax Group - pemain besar dalam industri pajak gadai - sangat membantu dalam pembukaan Ar-Rahnu. Menurut Ustaz Kamal, ValueMax bersetuju untuk menjalin kerjasama dalam pembukaan cawangan pajak gadai Islam pada 2014.

"Bila mereka memberikan komitmen, kita tahu mereka ini memang sungguh-sungguh kerana ini juga adalah satu risiko untuk ValueMax menceburi bidang kedai pajak Islam. Ia boleh menjejas perniagaan mereka," ujar Ustaz Kamal.
"Bila mereka membuka (cawangan) Ar-Rahnu, pelanggan mereka yang bukan Islam mungkin nampak ada unsur keislaman. Ini adalah satu risiko tetapi mereka komited."
Pulangan perniagaan pajak gadai juga, kata Ustaz Kamal, memakan masa sehingga dua tahun.
"Ia pelaburan jangka panjang. Dan mereka tahu, bila buka kedai (Ar-Rahnu), dalam jangka dua tahun baru nampak hasilnya. Jadi mereka harus bersedia untuk menanggung kerugian selama dua tahun. Komitmen mereka serius," tambah beliau.
Lantaran itulah, kawasan Geylang menjadi lokasi strategik pembukaan Ar-Rahnu. Sejak 2014, para pemegang saham Ar-Rahnu mengintai kawasan antara Joo Chiat Complex hingga Haig Road. Mereka hanya menemui tempat kosong paling sesuai pada 2019, iaitu tempat di Joo Chiat Complex.

Perbincangan "sangat rumit" tentang cara pengendalian Ar-Rahnu dijalankan selepas itu, termasuk mengisytiharkan bagaimana operasi sebuah pajak gadai Islam, kepada pihak berkuasa.
"Memastikan ia tidak melanggar syariah (satu perkara), kalau bercanggah dengan undang-undang pun susah. Jadi kita perlu mengambil jalan tengah," kongsi Ustaz Kamal.
KEBIMBANGAN BUKA AR-RAHNU KETIKA EKONOMI GAWAT?
Lazimnya semasa kegawatan atau kelembapan ekonomi, kedai-kedai pajak menjadi antara tempat yang dituju orang-ramai yang terjejas atau kesempitan kewangan. Misalnya ekoran kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan.
Lantaran itu, pembukaan Ar-Rahnu di Joo Chiat Complex itu boleh dianggap sebagai tepat pada masanya, memandangkan negara sedang berdepan dengan cabaran COVID-19 yang membawa bersamanya kemelesetan ekonomi yang mungkin berpanjangan sehingga tahun depan.
"Kumpulan 'non-bankables' (mereka yang tidak boleh dapatkan pinjaman bank) tetap ada, angkanya ramai. Malah kalau ekonomi gawat, Ar-Rahnu sepatutnya adalah tempat yang paling sesuai untuk masyarakat mendapatkan pinjaman paling cepat," kata Ustaz Kamal.
Beliau juga menarik perhatian, proses mendapatkan pinjaman di pajak gadai boleh secepat 10 minit kerana ia "berdasarkan aset atau barang yang bernilai".
"Jadi sesiapa yang perlukan duit dengan lebih cepat, boleh gadai. Dan gadai tidak bermakna hilang barang kemas. Dia hanya pinjam untuk seketika sahaja, waktu terdesak. Dan tempoh bayar semula boleh dilanjutkan.
"Ia pinjaman kepada sesiapa sahaja," ujar beliau.

Ustaz Kamal menambah, kemudahan membayar kembali hutang secara online atau di cawangan-cawangan ValueMax lain yang berdekatan dengan rumah si penggadai, juga mungkin akan menarik lebih ramai permintaan.
Lantaran itu ketika ditanya BERITAmediacorp sama ada ValueMax Ar-Rahnu ada sebarang kebimbangan mula bertapak di tengah-tengah kelembapan ekonomi, Ustaz Kamal menjawab beliau menjangkakan akan ada permintaan kerana keperluan membuat pinjaman sememangnya selalu ada.
Namun demikian, ValueMax Ar-Rahnu dipercayai bukanlah kedai pajak gadai berlandaskan konsep ar-rahnu yang pertama di Singapura.
Syarikat 916 Pawnshop Pte Ltd di Blok 824 Tampines Street 81 turut diberi kebenaran oleh pihak berkuasa untuk menjalankan urus niaga pajak gadai Islam sebelum ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.