Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kebanyakan pemilik flat HDB perlu bayar cukai hartanah lebih tinggi mulai 1 Jan 2022

Kebanyakan pemilik flat HDB perlu membayar cukai hartanah lebih tinggi pada tahun depan, di tengah-tengah semakan semula terhadap nilai tahunan hartanah mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kebanyakan pemilik flat HDB perlu bayar cukai hartanah lebih tinggi mulai 1 Jan 2022

Gambar fail: Hester Tan

Diterbitkan : 01 Dec 2021 09:10PM Dikemas Kini : 01 Dec 2021 09:13PM

SINGAPURA: Kebanyakan pemilik flat HDB perlu membayar cukai hartanah lebih tinggi pada tahun depan, di tengah-tengah semakan semula terhadap nilai tahunan hartanah mereka.

Penguasa Hasil Mahsul Singapura (IRAS) menyatakan pada Rabu (1 Dis) ia akan menyemak semula nilai tahunan flat HDB sebanyak 4 peratus kepada 6 peratus bagi mencerminkan peningkatan dalam pasaran rumah sewa.

Semakan itu, sebahagian daripada semakan tahunan IRAS untuk mengira cukai hartanah yang perlu dibayar, berkuat kuasa 1 Januari.

Ini adalah kali pertama sejak 2017 nilai tahunan flat HDB disemak semula.

Nilai tahunan itu adalah anggaran sewa yang diterima jika hartanah tersebut disewakan dan ditentukan berdasarkan kadar sewa pasaran hartanah yang setanding.

Dengan semakan itu, tambah IRAS, sekitar 65 peratus pemilik yang tinggal di flat tiga bilik masing-masing akan membayar S$8 hingga S$14 lebih setahun.

Pemilik-penghuni flat empat bilik, lima bilik serta eksekutif pula masing-masing akan membayar antara S$21 dengan S$26 lebih cukai tahunan pada tahun depan.

Semua pemilik-penghuni flat satu dan dua bilik serta 35 peratus pemilik-penghuni flat tiga bilik akan terus tidak dikehendaki membayar cukai hartanah.

"Begitu juga, IRAS menyemak nilai tahunan hartanah kediaman privet setiap tahun. Pemilik hartanah kediaman privet juga akan melihat peningkatan dalam nilai tahunan mereka pada 2022," menurut penguasa cukai itu.

CUKAI HARTANAH PERLU DIBAYAR OLEH PEMILIK FLAT HDB

Pemilik-penghuni flat HDB menikmati kadar cukai hartanah konsesi antara 0 peratus dengan 16 peratus, manakala kadar cukai hartanah bagi yang menyewakan flat mereka adalah 10 hingga 20 peratus.

(Sumber: IRAS)

(Sumber: IRAS)

Cukai hartanah 2022 yang perlu dibayar pemilik-penghuni flat HDB adalah seperti berikut:

Cukai hartanah yang perlu dibayar untuk tahun 2022, mengikut jenis flat HDB. (Sumber: IRAS)

(Sumber: IRAS)

Semua pemilik flat akan menerima bil cukai hartanah mereka menjelang hujung bulan ini. Mereka juga diingatkan supaya membayar cukai hartanah 2022 mereka selewat-lewatnya pada 31 Januari 2022.

Mereka yang gagal membayar atau belum membuat aturan pembayaran cukai melalui ansuran GIRO menjelang tarikh akhir akan dikenakan denda 5 peratus.

Pemilik hartanah yang menghadapi kesukaran kewangan boleh mendapatkan bantuan IRAS. 

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan