Skip to main content

Kewangan

Kargo udara global naik 11.3% tahun lalu; jangkaui rekod dicatatkan pada 2021

Anggaran Waktu Membaca:
Kargo udara global naik 11.3% tahun lalu; jangkaui rekod dicatatkan pada 2021

Gambar fail sebuah pesawat kargo FedEx. (Gambar: REUTERS/Mike Blake)

Diterbitkan : 30 Jan 2025 08:34AM Dikemas Kini : 30 Jan 2025 08:36AM
DUBLIN: Pasaran kargo udara global menunjukkan kemajuan ketara tahun lalu dengan permintaan meningkat 11.3 peratus dalam kargo tan kilometer (CTK) berbanding 2023, selepas permintaan melepasi jumlah rekod yang dicatatkan pada 2021, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ini menandakan puncak bersejarah baharu, melangkaui jumlah yang dicatatkan pada 2021 sebanyak 0.5 peratus, yang sebelum ini merupakan rekod tertinggi.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, kargo udara menunjukkan prestasi cemerlang pada 2024 apabila lebih banyak kargo diangkut oleh syarikat-syarikat penerbangan.

"Yang jelas, ia merupakan tahun pertumbuhan yang menguntungkan. Permintaan, naik 11.3 peratus dari tahun ke tahun selepas menerima rangsangan daripada pengukuhan e-dagang serta pelbagai sekatan yang dialami oleh perkapalan.

"Ini digabungkan dengan sekatan ruang udara yang membatasi kapasiti pada beberapa laluan jarak jauh utama ke Asia yang telah membantu mengekalkan hasil pada tahap tertinggi. Walaupun purata hasil masih kurang mantap berbanding paras kemuncak pada 2021-2022 yang mana, ia berpurata 39 peratus lebih baik daripada 2019," katanya melalui satu kenyataan.

Walaupun terdapat cabaran-cabaran yang rumit pada tahun lalu, industri tersebut telah mencerminkan kekuatannya apabila mengakhiri tahun lalu dengan momentum yang kukuh.

"Rantau Asia Pasifik tetap menjadi daya penggerak di sebalik pertumbuhan CTK tahunan industri, dengan menyumbang 46.6 peratus, walaupun angka ini mewakili penurunan sebanyak 4.9 peratusan mata daripada tempoh yang sama berbanding 2023," katanya lagi.

Bagi kapasiti tahun penuh pada 2024, kargo tan kilometer (ACTK) yang tersedia, bertambah 7.4 peratus berbanding peningkatan pada 2023 dan 9.6 peratus untuk operasi antarabangsa," katanya lagi.

IATA menjangkakan pertumbuhan akan menjadi sederhana hingga 5.8 peratus tahun ini, sejajar dengan prestasi sejarah.

"Asas ekonomi semasa menjurus kepada tahun yang baik bagi kargo udara, dengan harga minyak pada trajektori lemah dan perdagangan terus berkembang. Bagaimanapun, tidak ada keraguan bahawa industri kargo udara akan dicabar untuk menyesuaikan diri dengan pergeseran geopolitik yang sedang berlaku.

"Minggu pertama pentadbiran Trump menunjukkan kecenderungannya menggunakan tarif sebagai alat dasar yang dapat memberikan impak buruk kepada kargo udara, sekali gus, meningkatkan inflasi dan menjejaskan perdagangan," kata Encik Walsh.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita