Kakitangan Royale Chulan Kuala Lumpur ‘tidak sabar’ sambut tetamu S'pura; harap VTL terus diperluas
“Kami tidak sabar lagi sebab sudah lama sangat perniagaan hambar.”

Gambar: Facebook/Royale Chulan Kuala Lumpur
SINGAPURA: “Kami tidak sabar lagi sebab sudah lama sangat perniagaan hambar.”
Pengurus Besar Badrul Rezal Baharudin dan para kakitangan Royale Chulan Kuala Lumpur sudah bersiap sedia untuk menyambut lebih ramai tetamu, khususnya warga Singapura, di hotel bertaraf lima bintang itu.

Pengurus Besar Royale Chulan Kuala Lumpur. (Gambar ihsan)
Pengumuman Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) antara Lapangan Terbang Changi dengan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini sangat-sangat dinanti-nantikan.
Malah, bagi memikat lebih ramai pelancong untuk menginap di hotel yang terletak di daerah pusat perniagaan ibu kota Malaysia itu, pelbagai promosi turut ditawarkan.
“Salah satunya kita buat Shop & Stay. Ini adalah pakej bilik dan baucar beli-belah di Parkson Pavilion atau Ikea bernilai RM150. Kalau kita boleh menarik pelancong, mengapa tidak?” kongsi Encik Badrul sambil menambah promosi lain juga boleh didapatkan di laman media sosial Royale Chulan.

Salah satu cara menarik pelancong adalah dengan memberi baucar membeli-belah di Pavillion. (Gambar: Facebook/Royale Chulan Kuala Lumpur)
TERUK TERJEJAS DEK COVID-19
Sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat bersama dengan rangkaian perhotelan itu, tanggungjawab yang disandang beliau pada April lalu mungkin adalah antara yang paling mencabar baginya.
Ini kerana Encik Badrul diamanahkan untuk menerajui cawangan hotel di Kuala Lumpur itu di tengah-tengah pandemik COVID-19 sedang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ke atas seluruh negara.
“PKP tidak menentu. Dari tahun 2020 hingga ke 2021, masuk bulan Mei, ia ‘on and off’,” rintih beliau sambil menambah Royale Chulan Kuala Lumpur hanya mula beroperasi sepenuhnya pada Oktober lalu.
Memberi perincian lanjut, Encik Badrul mendedahkan purata kadar penginapan sepanjang 2019 adalah sekadar 52 peratus saja. Malah, ia merosot kepada 33 peratus sepanjang 2020 bahkan setakat ini, kekal pada peratusan yang sama.
“Masa saya dilantik ke sini, kadar penghunian masih belum dapat berkembang. Kita masa itu masuk gelombang COVID-19 yang ketiga pula dan PKP dikenakan lagi beberapa hari sebelum Hari Raya,” singkap beliau.

Ruang lobi hotel lima bintang itu. (Gambar: Facebook/Royale Chulan Kuala Lumpur)
PUSAT KUARANTIN
Bagi mengimbangi kemerosotan pada kadar penginapan, pengurus besar tersebut menawarkan hotelnya sebagai Pusat Kuarantin & Rawatan Risiko Rendah COVID-19 Swasta (PKRCS) dengan kelulusan diberikan untuk beroperasi dari Jun hingga September tahun ini.
Mujur, Royale Chulan Kuala Lumpur boleh dibahagikan kepada dua bahagian - kawasan hotel ditetapkan untuk PKRCS sementara sayap apartmen pula terus dibuka untuk para penginap jangka panjang.
Dengan itu, kadar penginapan mampu bertahan pada paras hampir 50 peratus, lantas mengurangkan kesan dari segi ekonomi dan kemampanan kewangan, menurut Encik Badrul.
Walau bagaimanapun, beliau sepasukan “sangat-sangat berharap” pelancong dari luar negara boleh kembali meningkatkan kadar penginapan hotel itu.
Ini kerana meskipun ia menyaksikan tambahan sekitar 5,000 rakyat Malaysia yang menginap di sana antara 2019 dengan 2020, hakikatnya, bilangan bilik ditempah (occupied room nights) secara keseluruhannya menjunam hampir 50 peratus.
Pada 2019, sebanyak 44,218 bilik ditempah tetapi jumlahnya merosot kepada hanya 27,485 bilik tahun lalu, dedah Encik Badrul sambil menambah tempahan bilik oleh rakyat Singapura misalnya merosot 90 peratus dengan hanya 161 pada 2020 berbanding 1,170 setahun sebelum itu.
“Itu dari Singapura sahaja. Saya belum kira lagi (penurunan) tempahan pelancong dari China, Timur Tengah dan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara,” kata beliau.

HARAP VTL DIPERLUAS
Justeru, Encik Badrul berharap VTL Malaysia-Singapura berjaya supaya dapat dijadikan sebagai model untuk menawarkan aturan serupa dengan negara-negara lain.
Katanya lagi, 2022 adalah tahun yang dijangka akan menjadi “titik tolak” kepada pelaksanaan VTL bukan sahaja dengan Singapura tetapi juga bersama negara-negara lain selepas dua tahun industri pelancongan tidak berganjak.
“Kita berharap sangat dengan ada lebih banyak VTL bersama negara lain akan dapat membantu kita menghidupkan semula ekonomi dari segi landskap pelancongan kita,” tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.