Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kafeteria Galeri Nasional S'pura gulung tikar; didakwa berhutang S$500,000

By AndCo, firma di sebalik Gallery & Co iaitu sebuah kafeteria dan kedai menjual barangan buatan tempatan di Galeri Nasional Singapura, sudah gulung tikar dan sedang mengusahakan pembubarannya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menjejas perniagaannya yang bergantung kepada pengunjung. 

Anggaran Waktu Membaca:
Kafeteria Galeri Nasional S'pura gulung tikar; didakwa berhutang S$500,000

(Gambar: Gallery & Co/Facebook)

Diterbitkan : 08 Aug 2020 02:54PM Dikemas Kini : 08 Aug 2020 02:58PM

SINGAPURA: By AndCo, firma di sebalik Gallery & Co iaitu sebuah kafeteria dan kedai menjual barangan buatan tempatan di Galeri Nasional Singapura, sudah gulung tikar dan sedang mengusahakan pembubarannya disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menjejas perniagaannya yang bergantung kepada pengunjung.

Perun Consultants, syarikat pembubar bagi pihak By AndCo, memberitahu Mediacorp ia sedang mengumpulkan jumlah keseluruhan hutang yang belum dilunaskan kepada pemiutang termasuk perniagaan kecil dan individu yang menyerahkan barangan perniagaan kepada firma berkenaan. Anggaran awal menunjukkan kedai tersebut berhutang sekitar S$500,000.

Para pemiutang termasuk:

  • The Little Drom Store, yang mendakwa ia masih menantikan bayaran S$12,000
  • Super Farmers, yang menyediakan peralatan pertanian bandar
  • Pembuat aksesori Heckin’ Unicorn
  • Seorang seniman Singapura yang menghantar beberapa salinan bukunya ke kedai tersebut

Dalam satu catatan Facebook pada Khamis (6 Ogos) yang berbunyi agak lantang, The Little Drom Store mendakwa Gallery & Co - yang mula beroperasi lebih empat tahun lalu, berhenti membayarnya bagi produk kebudayaan serta barangan lain yang dibekalkannya dan yang telah terjual sejak November tahun lalu.

Ia juga mendakwa ia tidak mendapat akses kepada barang-barangannya bernilai S$30,000 yang masih tersadai di dalam kedai berkenaan.

Cik Loh Xiang Yun, 32 tahun, seorang seniman yang menyerahkan buku terbitannya sendiri kepada Gallery & Co, berkata beliau tidak menerima bayaran yang diharapkannya sebanyak S$148.82 untuk barang-barangan yang dijual sejak Januari.

Cik Cynthea Lam, 43 tahun, pengasas firma kesejahteraan Super Farmers, juga meluahkan kekecewaan "yang teramat" dan berkata tiada seorang pun membalas kiriman emel oleh firmanya yang bertanyakan tentang bayaran S$300 yang belum dibayar bagi barang-barangan yang dijual sejak Januari. Beliau sebelum ini menghadapi masalah untuk mendapatkan bayaran itu.

Heckin’ Unicorn, yang mula menyerahkan produk-produknya kepada Gallery & Co mulai lewat Februari, berkata ia belum menerima bayaran bagi sekitar S$600.

Pengasas syarikat itu, Encik Teo Yu Sheng, 29 tahun, berkata Gallery & Co tidak memberi sebarang notis atau memaklumkan tentang pembubaran itu. Beliau menambah bahawa beliau menerima pemakluman emel tersebut hanya pada 3 Ogos manakala firma-firma lain sudah mengetahui akan perkara itu pada 30 Jul.

Dalam satu catatan berasingan di Facebook, Galeri Nasional menyatakan ia sedang berusaha untuk menyambung semula operasi bagi kedai dan kafeteria di muzium itu "secepat mungkin".

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Benjamin Thong dari Perun Consultants, yang menguruskan pembubaran tersebut, berkata bahawa para pengarah By AndCo meletakkan syarikat itu di bawah pembubaran secara sukarela pemiutang pada 30 Julai. Pasukan Encik Thong masih dalam proses mengumpulkan maklumat.

Seterusnya, mesyuarat pemegang saham akan diadakan untuk meluluskan huraian bagi meletakkan syarikat berkenaan di bawah pembubaran sebelum ia mengadakan mesyuarat dengan para pemiutang untuk memberikan maklumat lebih lanjut dan merasmikan proses pembubaran, kata Encik Thong. Proses ini akan mengambil masa selama dua minggu.

Encik Thong berkata barang-barang konsainan yang tidak terjual juga akan dikembalikan.

Bagaimanapun, beliau belum dapat memastikan sama ada jumlah hutang yang harus dibayar kepada setiap peniaga dapat diperolehi kembali sambil menekankan bahawa ada proses yang wajar sebagaimana dinyatakan dalam Akta Kemuflisan, Penyusunan Semula dan Pembubaran yang baru, yang mula berkuat kuasa 30 Jul.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan