Skip to main content

Kewangan

Kadar penginapan hotel di JB, Muar naik hingga 80% susuli kebenaran rentas negeri

Kadar penginapan hotel di Johor Bahru dan Muar kini meningkat dengan purata 70 hingga 80 peratus menyusuli kebenaran merentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar penginapan hotel di JB, Muar naik hingga 80% susuli kebenaran rentas negeri

Tetamu di meja penyambut tamu sebuah hotel di Malaysia. (Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 20 Oct 2021 12:19PM Dikemas Kini : 20 Oct 2021 12:22PM

JOHOR BAHRU: Kadar penginapan hotel di Johor Bahru dan Muar kini meningkat dengan purata 70 hingga 80 peratus menyusuli kebenaran merentas negeri pada 11 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor Onn Hafiz Ghazi berkata keadaan sama turut disaksikan di Desaru Coast dekat Kota Tinggi yang kadar penginapannya mencecah 65 peratus.

Menurut beliau lagi, setelah sekian lama industri pelancongan menyepi, kini bot-bot di Jeti Mersing juga kembali sibuk.

“Ramai yang mengambil peluang untuk melancong ke Johor setelah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob umum kebenaran merentas negeri di seluruh Malaysia pada 11 Oktober lalu.

“Kini saya dimaklumkan bahawa pakej-pakej bagi aktiviti ‘island hopping’ di daerah Mersing juga hampir penuh hingga pertengahan bulan 11,” katanya menerusi catatan di Facebook rasmi beliau hari ini (20 Okt).

Beliau menambah taman tema Legoland juga menyaksikan peningkatan pengunjung dalam negeri berbanding sebelum pandemik COVID-19 bermula.

“Terima kasih warga Malaysia kerana menjadikan Johor sebagai destinasi percutian anda. Insya-Allah Johor akan sentiasa dibuka untuk menjadi destinasi yang selamat untuk anda dan keluarga anda,” ungkapnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita