Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar pengangguran rakyat S'pura naik 3.3% pada suku kedua 2019

Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Singapura meningkat sedikit dalam suku kedua tahun ini, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Sep 2019 03:29PM Dikemas Kini : 12 Sep 2019 09:58PM

SINGAPURA: Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Singapura meningkat sedikit dalam suku kedua tahun ini, menurut perangkaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) hari ini (12 Sep).

MOM juga mengeluarkan kenyataan mengenai Perkembangan Pasaran Buruh bagi separuh pertama tahun ini, dengan jumlah keseluruhan pengambilan pekerja meningkat sebanyak 17,000.

Kenyataan itu juga menarik perhatian tentang prestasi memberangsangkan dalam sektor binaan dan perkhidmatan.

KADAR PENGANGGURAN NAIK SEDIKIT PADA SUKU KEDUA 2019

Kadar pengangguran dalam kalangan rakyat kekal pada paras 3.3 peratus pada Jun tahun ini, berbanding 3.2 peratus pada Mac 2019, menurut MOM dalam Laporan Pasaran Buruh bagi suku kedua tahun ini.

Secara keseluruhannya, kadar pengangguran yang disesuaikan secara musiman kekal tidak berubah iaitu pada 2.2 peratus, dengan kadar pengangguran bagi para penduduk meningkat kepada 3.1 peratus berbanding 3 peratus pada suku sebelumnya.

Kadar keseluruhan pengambilan pekerja (kecuali para pembantu rumah asing) meningkat sebanyak 6,200 pada suku kedua tahun ini.

Sebahagian besar pertumbuhan dicatatkan dalam sektor perkhidmatan (5,400) meskipun pertumbuhan dalam sektor berkenaan berada di paras paling rendah sejak suku ketiga 2016, menurut MOM.

Sektor binaan terus berkembang dengan menokok lagi 2,700 pekerjaan. Menurut kementerian tersebut, ini mencerminkan peningkatan pada permintaan disebabkan oleh kegiatan binaan dalam sektor awam.

Bagaimanapun, sektor pengilangan mengalami kemerosotan pada jumlah pengambilan pekerja buat tiga suku berturut-turut, mengurangkan sebanyak 1,500 pekerjaan, sedang hasil pengeluaran dalam sektor tersebut merosot.

Meskipun jumlah pemberhentian pekerja dalam suku kedua tahun ini lebih rendah berbanding suku pertama, namun MOM turut menarik perhatian bahawa jumlah kerja kosong merosot buat dua suku berturut-turut.

Sebanyak 2,320 orang diberhentikan kerja pada suku kedua berbanding 3,230 pada suku sebelumnya dan 3,030 pada tempoh yang sama setahun lalu.

Jumlah jawatan kosong juga merosot dari 57,100 pada Mac kepada 47,700 pada Jun.

Maka itu, nisbah antara jumlah jawatan kosong yang disesuaikan secara musiman dengan bilangan penganggur merosot kepada 0.94 buat julung-julung kalinya sejak Disember 2017, menurut MOM.

PENGAMBILAN PEKERJA TEMPATAN TUMBUH PADA RENTAK LEBIH PERLAHAN PADA SEPARUH PERTAMA 2019

MOM menyatakan meskipun berdepan dengan cabaran ekonomi, kadar keseluruhan pengambilan pekerja bagi separuh pertama tahun ini tumbuh sebanyak 16,900.

Bagaimanapun, kadar pengambilan pekerja tempatan (5,300) tumbuh pada rentak lebih perlahan dalam enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu (6,500).

Tidak termasuk para pekerja binaan dan pembantu rumah asing, kadar pengambilan pekerja asing di Singapura meningkat sebanyak 7,900 pada separuh pertama tahun ini berbanding 6,000 sepanjang tempoh yang sama tahun lalu, menurut kementerian itu.

JUMLAH PEMBERHENTIAN PEKERJA SETANDING DENGAN 2018

MOM menyatakan bahawa kadar pemberhentian pekerja kekal rendah dan kadar pengangguran dalam kalangan penduduk tempatan bagi jangka panjang tetap stabil.

Sepanjang separuh pertama tahun ini, seramai 5,550 pekerja diberhentikan kerja dan jumlah itu setanding dengan bilangan pekerja yang diberhentikan kerja bagi tempoh sama tahun lalu, iaitu seramai 5,350 pekerja.

Pertubuhan-pertubuhan menyifatkan rombakan dan penyusunan semula kekal sebagai punca utama yang menyebabkan para pekerja diberhentikan kerja, menurut MOM.

Dengan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi Singapura bagi tahun ini kepada antara sifar dengan 1 peratus, MOM menyatakan bahawa peluang-peluang pekerjaan akan terus diwujudkan dalam sektor-sektor yang mencatatkan pertumbuhan pengambilan pekerja yang tinggi pada separuh pertama tahun ini.

Sektor-sektor itu termasuk khidmat kemasyarakatan, sosial, peribadi serta khidmat profesional, kewangan dan insurans, serta infokom.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan