Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Kadar minimum faedah CPF dikekalkan sehingga hujung 2022

Kadar minimum bagi faedah akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dikekalkan, umum Lembaga CPF pada Isnin (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Kadar minimum faedah CPF dikekalkan sehingga hujung 2022

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 01:03PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 01:06PM

SINGAPURA: Kadar minimum bagi faedah akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) akan dikekalkan, umum Lembaga CPF pada Isnin (27 Sep).

Kadar minimum empat peratus yang sepatutnya disemak pada hujung tahun ini bagi akaun-akaun Khas, MediSave dan Persaraan (SMRA) akan dilanjutkan sehingga hujung 2022, menurut Lembaga CPF dalam satu kenyataan bersama dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

"Pemerintah komited untuk mengekalkan kadar minimum empat peratus pada faedah SMRA dan terus mengekalkannya setelah mengambil kira keadaan ekonomi global dan hakikat bahawa kadar faedah sangat rendah kebelakangan ini," menurut kenyataan tersebut.

Dari Oktober hingga Disember tahun ini, para pencarum CPF akan terus menikmati kadar faedah sehingga 3.5 peratus bagi Akaun Biasa dan sehingga lima peratus bagi Akaun Khas dan MediSave.

Kadar-kadar itu termasuk tambahan satu peratus bagi S$60,000 pertama dalam baki akaun-akaun pencarum secara keseluruhannya. Ia sebahagian daripada usaha pemerintah untuk meningkatkan simpanan persaraan bagi para pencarum CPF, menurut pihak berkuasa.

Para pencarum yang berusia 55 tahun dan ke atas akan mendapat lagi satu peratus bagi S$30,000 pertama dalam baki akaun-akaun mereka secara keseluruhannya, sekali gus menikmati sehingga enam peratus daripada baki simpanan persaraan mereka.

Faedah tambahan yang diterima dalam Akaun Biasa akan disalurkan ke Akaun Khas atau Akaun Persaraan.

Para pencarum berusia 55 tahun ke atas yang juga pencarum skim CPF LIFE (Pendapatan Sepanjang Hayat Bagi Orang Yang Lanjut Usia) akan tetap menerima faedah tambahan daripada gabungan baki akaun-akaun mereka, termasuk simpanan yang digunakan untuk CPF LIFE.

Kadar faedah konsesi bagi pinjaman gadai janji HDB akan dikekalkan pada paras 2.6 peratus bagi suku terakhir 2021. Kadar itu ditambat pada paras 0.1 peratus melebihi kadar faedah Akaun Biasa yang akan dikekalkan pada paras 2.5 peratus.

Kadar faedah bagi Akaun Khas dan MediSave akan dikekalkan pada paras empat peratus bagi tempoh yang sama.

Seperti yang diumumkan sebelum ini, kadar faedah bagi Akaun Persaraan akan dikekalkan pada paras empat peratus sehingga hujung tahun ini.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan