Skip to main content

Kewangan

Jurang antara kaya dengan miskin semakin luas sewaktu pandemik: Oxfam

Badan amal Oxfam pada Isnin (22 jan) menuntut langkah-langkah diambil untuk menangani ketidaksamaan sedang jurang antara golongan hartawan dengan yang miskin makin luas di tengah pandemik COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Jurang antara kaya dengan miskin semakin luas sewaktu pandemik: Oxfam

(Gambar fail: Reuters/Edgar Su)

Diterbitkan : 25 Jan 2021 03:12PM Dikemas Kini : 25 Jan 2021 03:17PM

LONDON: Nilai kekayaan golongan hartawan termasuk ketua Amazon Jeff Bezos dan pengasas Tesla Elon Musk melonjak di tengah-tengah pandemik COVID-19 sedang golongan miskin dunia mengalami kesengsaraan selama bertahun-tahun, kata badan amal Oxfam pada Isnin (22 jan) sedang ia menuntut langkah-langkah diambil untuk menangani ketidaksamaan.

"Jendela peluang semakin mengecil" untuk negara-negara membangunkan pemulihan yang adil dan mesra alam, menurut laporan The Inequality Virus, yang diterbitkan sedang pemimpin global menghadiri mesyuarat maya Dialog Davos Forum Ekonomi Dunia.

"Kami menyaksikan peningkatan terbesar ketidaksamaan dalam rekod," kata Gabriela Bucher, pengarah eksekutif Oxfam International, dalam satu kenyataan sedang badan amal itu menyeru cukai lebih tinggi terhadap kekayaan dan perlindungan lebih kukuh bagi pekerja.

"Ekonomi berat sebelah menyalurkan kekayaan kepada golongan elit kaya yang melalui pandemik itu dalam keadaan bermewah, sementara mereka yang berada di barisan depan - pembantu kedai, pekerja penjagaan kesihatan, dan pengendali pasar - menghadapi cabaran melunaskan bil. "

SEDEKAD UNTUK PULIHKAN PARAS KEMISKINAN KE TAHAP PRA-COVID

Badai ekonomi yang dicetuskan COVID-19 paling teruk menjejas golongan miskin dan terdedah kepada risiko, dengan wanita dan pekerja terpinggir menghadapi kehilangan pekerjaan terburuk. Bank Dunia memberi amaran bahawa lebih 100 juta orang mungkin terjerumus ke dalam kemiskinan yang melampau.

Ia mungkin memerlukan lebih sedekad untuk mengurangkan jumlah orang yang hidup dalam kemiskinan kembali ke tahap sebelum krisis, Oxfam memberi amaran.

Sementara itu, harta keseluruhan hartawan dunia melonjak AS$3.9 trilion (S$5.1 trilion) antara Mac dengan Disember 2020 untuk mencecah A$11.95 trilion (S$15.85 trilion), menurut laporan itu.

Sepuluh lelaki terkaya - senarai yang didahului oleh Bezos dan Musk yang juga termasuk Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan mewah LVMH Bernard Arnault, Bill Gates dari Microsoft dan CEO Facebook Mark Zuckerberg - menyaksikan nilai bersih mereka melonjak sebanyak AS$540 bilion (S$716 bilion) dalam tempoh yang sama, dedah Oxfam.

Jumlah itu cukup untuk mencegah sesiapa daripada terjerumus ke dalam kancah kemiskinan akibat wabak tersebut dan membiayai vaksin untuk semua penduduk dunia, menurut kiraan para penyelidik.

KERJASAMA SEDUNIA DIPERLUKAN

Pandemik itu menandakan "titik penting" yang mendedahkan jurang ekonomi dan membina sokongan bagi dasar-dasar yang mencetus "perubahan", tambah Oxfam, yang menyeru agar cukai lebih tinggi dikenakan ke atas harta dan syarikat di samping perlindungan yang lebih kukuh bagi golongan pekerja.

Cukai sementara ke atas lebihan keuntungan 32 syarikat global yang meraih keuntungan paling banyak semasa pandemik itu sepatutnya boleh mengumpulkan AS$104 bilion (S$137.9 bilion) pada 2020, tambah Oxfam.

Kerjasama antarabangsa akan menjadi kunci untuk melaksanakan banyak perubahan, kata Profesor Jayati Ghosh, seorang profesor ekonomi di Universiti Massachusetts Amherst yang merupakan antara ahli ekonomi yang ditinjau Oxfam untuk laporan tersebut.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat yang baru Joe Biden akan mendorong "lebih kesediaan" bagi tindakan bersama dalam isu-isu termasuk tindakan keras terhadap tempat-tempat yang menawarkan perlindungan cukai dan bantuan bagi negara-negara membangun, katanya kepada Thomson Reuters Foundation melalui panggilan telefon.

"Ada beberapa rintangan yang sangat besar, tetapi ada banyak perkara yang boleh dilakukan dengan cepat," tambahnya.  

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita