Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jumlah rekod 29 flat HDB dijual pada harga lebih S$1 juta pada Nov 2021: SRX

 Jumlah rekod sebanyak 29 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga lebih S$1 juta dalam pasaran jualan semula pada November, menurut data yang dikeluarkan hari ini (9 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Jumlah rekod 29 flat HDB dijual pada harga lebih S$1 juta pada Nov 2021: SRX

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 09 Dec 2021 05:52PM Dikemas Kini : 09 Dec 2021 11:14PM

SINGAPURA: Jumlah rekod sebanyak 29 flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dijual pada harga lebih S$1 juta dalam pasaran jualan semula pada November, menurut data yang dikeluarkan hari ini (9 Dis).

Ia mengatasi jumlah rekod yang dicatatkan pada bulan sebelumnya iaitu sebanyak 26 flat dijual pada harga tersebut pada Ogos lalu dan berbanding 20 pada Oktober.

Sebanyak 223 flat HDB dijual pada harga melebihi S$1 juta pada 11 bulan pertama 2021, iaitu kenaikan 209.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut portal hartanah SRX dalam laporan awal prestasi pasaran itu pada November.

Laporan itu juga menyatakan bahawa harga jualan semula flat HDB meningkat 1.3 peratus pada November berbanding Oktober - iaitu kenaikan 17 bulan berturut-turut.

Mengikut kadar tahunan, harga flat jualan semula melonjak 13.8 peratus.

Secara keseluruhan, 2,586 unit flat jualan semula HDB dijual pada November, iaitu kenaikan 3.2 peratus berbanding Oktober.

Bilangan flat jualan semula meningkat 10.9 peratus berbanding November 2020.

Sebanyak 29 unit flat yang dijual pada harga jutaan dolar meliputi 1.1 peratus daripada keseluruhan jumlah flat yang dijual pada November.

Sebuah unit lima bilik di Boon Keng dijual pada harga S$1.27 juta, iaitu harga jualan semula yang tertinggi.

Bagi estet-estet belum matang, urus niaga jualan semula tertinggi adalah bagi sebuah apartmen lima bilik di Punggol yang dijual pada S$970,000.

Para penganalisis hartanah berkata minat berterusan kepada flat jualan semula HDB sebahagiannya disebabkan para pemilik rumah menjangkakan penangguhan terhadap pembinaan flat-flat Bina-Ikut-Tempah (BTO), yang merupakan flat perumahan awam yang ditempah lebih awal oleh rakyat Singapura sebelum ia dibina.

Sekatan sempadan yang dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 juga bermakna bahawa banyak projek-projek binaan tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi kerana kebanyakan kerja-kerja di tapak binaan lazimnya dilakukan oleh para pekerja hijrahan.

Sumber : Today/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa