Skip to main content

Iklan

Iklan

Kewangan

Jualan runcit S'pura naik 17.8% pada Mei

Penjualan runcit Singapura pada Mei meningkat 17.8 peratus berbanding setahun lalu, naik daripada pertumbuhan 12.1 peratus pada April.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Jul 2022 04:42PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 08:59PM
SINGAPORE: Penjualan runcit Singapura pada Mei meningkat 17.8 peratus berbanding setahun lalu, naik daripada pertumbuhan 12.1 peratus pada April.

Demikian menurut data yang dikeluarkan Jabatan Statistiks (SingStat) pada Selasa (5 Jul).

"Prestasi dari tahun ke tahun Mei 2022 lebih baik disebabkan terutamanya oleh asas yang rendah pada Mei 2021 apabila langkah-langkah seperti sekatan perjalanan antarabangsa dilaksanakan," menurut SingStat.

Pada Mei lalu, saiz kumpulan perhimpunan dikurangkan kepada dua orang berbanding lima orang ekoran lonjakan pada kes COVID-19 dalam masyarakat. Duduk makan di premis makanan dan minuman (F&B) juga digantung ketika itu.

Tidak termasuk kenderaan bermotor, jualan runcit meningkat 22.6 peratus pada Mei berbanding peningkatan 17.4 peratus pada April.

KEBANYAKAN INDUSTRI CATAT PENINGKATAN JUALAN

Kebanyakan industri runcit menyaksikan lonjakan jualan pada Mei berbanding setahun lalu.

Industri barangan seperti pakaian dan kasut menikmati jualan lebih tinggi sebanyak 98.2 peratus manakala gedung serbaneka melonjak 73.1 peratus. Jualan jam tangan dan barang kemas pula menyaksikan pertumbuhan 60.7 peratus.

Bagaimanapun, jualan kenderaan bermotor susut 10.2 peratus. Pasar raya, pasar raya besar dan kedai runcit juga mencatatkan penjualan lebih rendah, masing-masing merosot 10.3 peratus dan 4.8 peratus.

Ini disebabkan permintaan lebih tinggi bagi barangan dapur pada Mei 2021 sedang lebih ramai orang duduk di rumah semasa tempoh Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat), menurut SingStat.

Jumlah nilai jualan runcit pada Mei dianggarkan S$3.9 bilion, dengan penjualan runcit online membentuk sekitar 12 peratus, lebih rendah berbanding 12.4 peratus pada bulan sebelumnya.

Tidak termasuk kenderaan bermotor, jumlah penjualan runcit adalah sekitar S$3.5 bilion, dengan penjualan runcit online membentuk 13.6 peratus.

PERMINTAAN LEBIH TINGGI BAGI ACARA DAN KATERING DALAM PESAWAT

Penjualan khidmat makanan dan minuman (F&B) berkembang 40.1 peratus pada Mei dari setahun lalu, berbanding kenaikan 11.6 peratus pada bulan sebelumnya.

"Pertumbuhan ketara dalam penjualan F&B pada Mei 2022 sebahagian besarnya disebabkan oleh asas rendah pada Mei 2021 apabila langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dilaksanakan, dengan orang ramai tidak dibenarkan duduk makan di premis F&B selama dua minggu," jelas SingStat.

Semua industri khidmat F&B menyaksikan peningkatan pada Mei berbanding setahun sebelumnya.

Dagangan katering makanan melonjak 101.6 peratus. In terutamanya disebabkan oleh permintaan lebih tinggi bagi acara dan katering dalam pesawat, dengan sekatan terhadap acara berskala besar serta perjalanan antarabangsa dilonggarkan, menurut SingStat.

Penjualan di restoran juga meningkat 66 peratus manakala jualan kafe, pusat makanan dan tempat makan lain naik 25 peratus.
Kadar penjualan di kedai makanan segera menyaksikan peningkatan 13.8 peratus.

Jumlah nilai jualan khidmat F&B pada Mei 2022 dianggarkan sebanyak S$910 juta pada bulan Mei, dengan jualan online membentuk sekitar 24.4 peratus, lebih rendah berbanding 26.7 peratus yang dicatatkan pada April.
 
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan