Jualan runcit S'pura naik 7.5% pada Okt, dipacu pembelian telefon bijak
Penjualan runcit Singapura naik 7.5 peratus pada Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu dipacu oleh lebih banyak pembelian telefon bimbit menyusuli pelancaran produk baru.
SINGAPURA: Penjualan runcit Singapura naik 7.5 peratus pada Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu dipacu oleh lebih banyak pembelian telefon bimbit menyusuli pelancaran produk baru.
Peningkatan pada Oktober jauh lebih tinggi berbanding kenaikan 6.8 peratus yang dicatatkan pada September, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Jumaat (3 Dis).
Ini merupakan bulan kedua berturut-turut penjualan runcit mencatatkan pertumbuhan. Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit juga naik 11.4 peratus.
Nilai keseluruhan penjualan runcit mencecah S$3.6 bilion namun kekal di bawah paras sebelum pandemik, menurut SingStat. Penjualan online membentuk 15.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan runcit meningkat 0.7 peratus pada Oktober berbanding September. Pertumbuhan meningkat 2.3 peratus jika kenderaan bermotor dikecualikan.
PENJUALAN RUNCIT MENGIKUT INDUSTRI
Kebanyakan industri dalam sektor runcit menyaksikan peningkatan pada hasil penjualan tahun ini berbanding tempoh yang sama setahun lalu, dengan pembelian komputer dan peralatan telekomunikasi melonjak 72.9 peratus disebabkan oleh pelancaran produk baru.
Jam tangan dan barang kemas, stesen minyak, pasar raya serta pasar raya besar mencatatkan peningkatan dua angka masing-masing sebanyak 26.9 peratus, 16.3 peratus dan 10.4 peratus.
Penjualan turut meningkat bagi industri makanan dan arak, produk kecantikan, kelengkapan dandanan diri dan perubatan, pakaian dan kasut serta kelengkapan rumah dan perabot.
Sementara itu, penjualan merosot bagi kedai beli-belah, barangan riadah, buku dan kaca mata, kenderaan bermotor dan kedai serbaneka.
Berdasarkan penyesuaian musiman dari bulan ke bulan, penjualan bagi kebanyakan industri meningkat, dengan komputer dan peralatan telekomunikasi mendahului senarai dengan kenaikan sebanyak 4.1 peratus.
Penjualan khidmat makanan dan minuman merosot 4.5 peratus pada Oktober berbanding tempoh yang sama setahun lalu disebabkan oleh had yang dikenakan terhadap jumlah individu yang dibenarkan duduk makan di luar. Ini berbanding pertumbuhan 4.5 peratus yang dicatatkan oleh sektor yang sama pada September.
Keseluruhan nilai penjualan F&B dianggarkan S$659 juta dan ia masih di bawah paras sebelum pandemik, menurut SingStat.
Penjualan online membentuk 38.4 peratus daripada keseluruhan nilai itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.