Jualan runcit S'pura merosot 8.5% pada Julai sedang COVID-19 terus jejas sektor
Jualan runcit di Singapura jatuh 8.5 peratus pada Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sedang pandemik COVID-19 terus menjejas sektor tersebut.
Seorang penolong di cawangan runcit di Singapura pada 19 Jun 2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)
SINGAPURA: Jualan runcit di Singapura jatuh 8.5 peratus pada Julai tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, sedang pandemik COVID-19 terus menjejas sektor tersebut.
Bagaimanapun, ia adalah satu peningkatan berbanding kemerosotan 27.7 peratus pada bulan Jun, menurut Jabatan Statistik (SingStat) pada Jumaat (4 Sep).
Tidak termasuk kenderaan bermotor, jualan runcit susut 7.7 peratus dari tahun ke tahun, menurut perangkaan SingStat.
Berbanding bulan Jun, jualan runcit selepas penyesuaian musiman, menyaksikan kenaikan 27.4 peratus pada bulan Julai
Ini didorong asas lebih rendah pada bulan sebelumnya, apabila kebanyakan kedai ditutup sehingga 18 Jun, sebelum Fasa 2 pembukaan semula Singapura bermula.
Tidak termasuk kenderaan bermotor, jualan runcit selepas penyesuaian musiman naik 19.5 peratus.
Jualan runcit secara keseluruhan pada bulan Julai dianggarkan sekitar S$3.3 bilion, dengan jualan runcit online membentuk sekitar 11 peratus.
Jualan runcit online bagi komputer dan peralatan telekomunikasi, perabot dan peralatan rumah, serta industri pasar raya dan pasar gedung membentuk 49.1 peratus, 21.8 peratus dan 11.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penjualan industri masing-masing.
Antara segmen yang teruk terjejas akibat kemerosotan jualan runcit pada Julai adalah gedung beli-belah, yang menyaksikan penguncupan jualan 32.1 peratus; pakaian dan kasut (-27.7 peratus); serta jam tangan dan barang kemas (-21 peratus).
SingStat menyatakan ketiga-tiga segmen itu "terus terjejas oleh kurangnya ketibaan pelancong akibat wabak global COVID-19".
SEKTOR F&B JUNAM 25.4%
Penjualan khidmat makanan dan minuman (F&B) jatuh 25.4 peratus tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu, dan menjunam 43.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, dedah SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman, penjualan khidmat F&B tumbuh 29.2 peratus pada bulan Julai berbanding bulan sebelumnya.
Pertumbuhan itu dipacu oleh asas lebih rendah pada bulan Jun, apabila kedai makanan dan minuman beroperasi melalui khidmat penghantaran atau makanan dibawa pulang sehingga 18 Jun.
Nilai penjualan khidmat F&B secara keseluruhan pada bulan Jun dianggarkan S$665 juta, dengan jualan F&B online membentuk sekitar 21.1 peratus, menurut SingStat.
Kadar pusing ganti restoran dan penyedia khidmat katering makanan masing-masing susut 29.9 peratus dan 45.2 peratus pada bulan Julai tahun ini berbanding Julai 2019.
"Begitu juga kafe, pusat makanan serta tempat makanan lain dan cawangan makanan segera mencatat penjualan lebih rendah sebanyak 11.5 peratus dan 29.9 peratus semasa tempoh tersebut," tambah SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman, kadar pusing ganti restoran, kafe, pusat makanan serta tempat makanan lain dan cawangan makanan segera tumbuh antara 7.2 peratus dengan 61.0 peratus berbanding bulan sebelumnya, dengan lebih ramai orang makan di luar dalam Fasa 2.
Kadar pusing ganti katerer makanan juga naik 5.2 peratus semasa tempoh itu, disebabkan meningkatnya permintaan bagi hidangan katering daripada dormitori pekerja asing.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.