Jualan runcit S'pura lonjak 54% pada April berbanding tahun lalu
Penjualan runcit di Singapura melonjak 54 peratus pada April berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Gambar fail: Gaya Chandramohan
SINGAPURA: Penjualan runcit di Singapura melonjak 54 peratus pada April berbanding tempoh yang sama tahun lalu ketika negara menjalani tempoh langkah pemutus rantaian jangkitan untuk membendung penularan COVID-19, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini (4 Jun).
Pertumbuhan itu juga lebih tinggi berbanding kenaikan 6.3 peratus yang dicatatkan Mac lalu, menurut Jabatan Statistik (SingStat).
Buat tiga bulan berturut-turut penjualan runcit melonjak tetapi SingStat menyatakan ia tetap lebih rendah berbanding sebelum COVID-19.
Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit naik 39.2 peratus pada April tahun ini berbanding 4.5 peratus pada bulan Mac.
Hampir kesemua segmen mencatat penjualan lebih tinggi pada April berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kecuali pasar raya dan kedai serbaneka, tambah SingStat.
Antara barangan yang mencatat penjualan tinggi adalah jam tangan dan barang kemas yang melonjak 646.8 peratus serta pakaian dan kasut yang meningkat 442.6 peratus.
Penjualan di gedung serbaneka pula naik 279.9 peratus manakala penjualan kenderaan bermotor bertambah 261.3 peratus.
Namun, penjualan pasar raya menguncup 30.2 peratus manakala penjualan di kedai serbaneka jatuh 16.8 peratus pada April.
Menurut Jabatan Statistik, ia disebabkan oleh penjualan barangan dapur yang lebih tinggi pada tahun lalu ekoran lebih ramai orang tidak keluar rumah sewaktu langkah pemutus rantaian jangkitan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.