Jualan runcit S'pura jatuh 27.8% pada Jun di tengah Fasa 2 pasca 'pemutus jangkitan'
Penjualan runcit di Singapura merosot pada rentak yang lebih perlahan iaitu 27.8 peratus pada Jun berbanding setahun lalu, sedang negara melangkah keluar dari "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" dan perniagaan runcit kembali beroperasi di bawah Fasa 2 pembukaan semula ekonomi negara.
SINGAPURA: Penjualan runcit di Singapura merosot pada rentak yang lebih perlahan iaitu 27.8 peratus pada Jun berbanding setahun lalu, sedang negara melangkah keluar dari "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" dan perniagaan runcit kembali beroperasi di bawah Fasa 2 pembukaan semula ekonomi negara.
Ia satu peningkatan berbanding kemerosotan 52 peratus yang mencecah paras rekod pada Mei di mana kedai-kedai fizikal ditutup sepanjang bulan tersebut, menurut Jabatan Statistik Singapura (SingStat) pada Rabu (5 Ogos).
Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit jatuh 24.2 peratus berbanding setahun lalu, menurut perangkaan SingStat.
Singapura menguatkuasakan tempoh pemutus jangkitan dari 7 April untuk membendung penularan COVID-19, menutup tempat-tempat kerja yang tidak penting dan melaksanakan pembelajaran di rumah untuk para pelajar.
Tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 berakhir pada 1 Jun, dengan Pemerintah merancang untuk membuka semula ekonomi melalui tiga fasa.
Singapura kini berada dalam Fasa 2 yang bermula pada 19 Jun, dengan kedai-kedai runcit dibenarkan untuk beroperasi semula dengan menjamu selera di kedai makan dan minuman (F&B) diizinkan.
Namun jika dibandingkan dengan Mei, penjualan runcit yang disesuaikan secara musiman mencatat peningkatan yang besar, melonjak 51.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Tidak termasuk kenderaan bermotor, penjualan runcit yang disesuaikan secara musiman meningkat 43.1 peratus.
"Pertumbuhan dari bulan ke bulan secara purata disebabkan oleh dasar perbandingan yang rendah pada Mei 2020 semasa kedai-kedai fizikal ditutup selama sebulan sepanjang tempoh pemutus jangkitan," jelas SingStat dalam kenyataan medianya.
Nilai penjualan runcit keseluruhan yang dianggarkan bagi Jun adalah sekitar S$2.6 bilion, dengan penjualan runcit online membentuk sekitar 18.1 peratus.
Penjualan runcit online bagi perkakas komputer dan telekomunikasi, perabot dan peralatan rumah, serta industri pasar raya dan pasar raya besar masing-masing membentuk 69.9 peratus, 45.6 peratus dan 10.7 peratus daripada penjualan industri masing-masing.
SEKTOR F&B JATUH 43.5%
Penjualan khidmat makanan dan minuman (F&B) menjunam 43.5 peratus pada Jun berbanding setahun lalu dan berbanding kejatuhan 50.1 peratus pada bulan sebelumnya, menurut SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman, penjualan khidmat F&B meningkat 18.9 peratus pada Jun berbanding bulan sebelumnya.
Ini berlaku dalam Fasa 2 yang membenarkan para pelanggan untuk makan di dalam restoran selepas Singapura melangkah ke tempoh pasca pemutus jangkitan.
Nilai penjualan keseluruhan bagi khidmat F&B pada Jun dianggarkan bernilai S$496 juta, dengan penjualan F&B online dianggarkan membentuk 32.7 peratus, tambah SingStat.
Pendapatan restoran dan penyedia khidmat katering masing-masing merosot 59 peratus dan 48.1 peratus pada Jun tahun ini berbanding Jun 2019.
"Begitu juga, kafe, pusat makanan dan tempat makan lain serta cawangan restoran makanan segera yang masing-masing mencatatkan penjualan yang lebih rendah sebanyak 32.7 peratus dan 20.5 peratus dalam tempoh ini," tambah SingStat.
Berdasarkan penyesuaian musiman, hasil pendapatan restoran, kafe, pusat makanan dan tempat makan lain serta cawangan restoran makanan segera meningkat antara 11 peratus dengan 43.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.