Skip to main content

Kewangan

Jualan rumah privet baru S'pura junam 31.4% pada Sep, turun 2 bulan berturut-turut

Penjualan rumah privet baru di Singapura menjunam 31.4 peratus pada September, menandakan kemerosotan dua bulan berturut-turut.

Anggaran Waktu Membaca:
Jualan rumah privet baru S'pura junam 31.4% pada Sep, turun 2 bulan berturut-turut

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 15 Oct 2021 06:16PM Dikemas Kini : 15 Oct 2021 06:20PM

SINGAPURA: Penjualan rumah privet baru di Singapura menjunam 31.4 peratus pada September, menandakan kemerosotan dua bulan berturut-turut.

Tidak termasuk kondominium eksekutif, pemaju hartanah menjual 834 unit pada September berbanding 1,216 unit pada Ogos, menurut data yang dikeluarkan oleh Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada Jumaat (15 Okt).

Jumlah jualan yang lebih rendah itu disebabkan oleh sekatan lebih ketat bagi pameran rumah di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 dalam masyarakat pada September, jelas penganalisis.

Jumlah unit yang dilancarkan pada September juga adalah lebih rendah, dengan 210 unit ditawarkan.

Ini adalah 74.9 peratus lebih rendah berbanding 836 unit dilancarkan pada bulan sebelumnya, serta 84.3 peratus lebih rendah daripada 1,340 unit yang dilancarkan September tahun lalu.

PERMINTAAN TERTINGGI BAGI RUMAH LUAR BANDAR

Projek perumahan luar bandar menarik paling banyak pembeli pada September, dengan pihak pemaju menjual 356 unit di Kawasan Luar Pusat Bandar (OCR), diikuti dengan 310 unit di Baki Kawasan Bandar (RCR) dan 168 unit di Kawasan Tengah Bandar (CCR).

"Dengan tiadanya pelancaran projek utama, permintaan beralih ke projek-projek yang dilancarkan sebelum ini," kata naib presiden kanan penyelidikan dan analitik di OrangeTee & Tie, Christine Sun.

Cik Sun menambah projek paling laris yang tidak termasuk kondominium eksekutif, adalah Normanton Park, Parc Clematis, Dairy Farm Residences, Leedon Green, serta Affinity at Serangoon dan Treasure at Tampines.

Bagaimanapun, bilangan rumah baru yang dijual di OCR bulan lalu turun separuh berbanding Ogos, menurut Propnex, ekoran "bekalan rumah di OCR yang merosot".

Ketua Pegawai Eksekutif PropNex, Ismail Gafoor minat bagi rumah yang terletak di kawasan tengah semakin meningkat.

"Rumah di kawasan tengah lebih popular dalam kalangan pelabur dan pembeli asing," kata Encik Ismail.

"Ketika sekatan sempadan dan langkah pengurusan selamat dilonggarkan secara bertahap-tahap, momentum penjualan dalam segmen pasaran ini akan meningkat sedikit menjelang akhir tahun ini," tambahnya.

Cik Sun menambah bahawa dalam beberapa bulan mendatang, sentimen pasar dijangka "kekal positif" di tengah-tengah pelonggaran sekatan COVID-19.

"Dengan lebih banyak laluan perjalanan dibuka bagi pengunjung divaksin, kita boleh menjangkakan peningkatan pembeli asing yang kembali ke pasaran," tambahnya.

Meskipun demikian jumlahnya tidak dijangka naik secara mendadak kerana langkah-langkah seperti Duti Setem Pembeli Tambahan masih dilaksanakan. Namun, jumlah urus niaga mungkin lebih tinggi daripada tahun lalu, tambahnya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita